arena

Messi cergas bertemu Mallorca

Oleh AFP

LIONEL Messi tahu bagaimana untuk menguruskan tahap kecergasan dirinya bagi menghadapi baki saingan La Liga dan dia tidak berdepan sebarang kecederaan menjelang pertemuan dengan Real Mallorca awal pagi esok, kata jurulatih Quique Setien.

Messi tidak dapat menjalani tiga sesi latihan minggu lalu kerana berasa tidak selesa dipahanya namun dia kembali menjalani latihan penuh selepas itu.

"Dia berada dalam keadaan baik dan menjalani latihan bersama rakan sepasukan lain. Saya tidak nampak dia berdepan sebarang masalah," kata Setien pada sidang media.

Barcelona akan kembali beraksi menentang Mallorca di tempat lawan selepas aksi liga ditangguhkan selama tiga bulan akibat pandemik Covid-19.

La Liga akan berakhir pada 19 Julai dengan setiap pasukan akan beraksi kesemua 11 baki perlawanan dalam tempoh hanya 39 hari.

Jadual padat pasti akan memberi kesukaran kepada pemain seperti Messi yang menggalas tanggungjawab besar selepas Barcelona ketinggalan dua mata berbanding pendahulu liga, Real Madrid.

Ditanya adakah Messi dapat beraksi kesemua 11 perlawanan itu, Setien berkata: "Messi serta barisan pemain berpengalaman lain tahu bagaimana untuk menguruskan diri mereka. Sekiranya terdapat risiko, dia pasti akan memaklumkan perlu berehat."

Setien juga berkata, Luis Suarez bersedia untuk diturunkan selepas mengalami kecederaan lutut namun masih memerlukan masa untuk pulih sepenuhnya.

"Dia mungkin akan diturunkan tetapi tidak sepenuh masa," katanya.

Disiarkan pada: June 13, 2020 @ 8:21am
d