arena

Haaland tolak United, sesuai dengan Liverpool

Oleh Agensi

ERLING Haaland tidak berminat untuk menyertai Manchester United tetapi mungkin sesuai bersama Liverpool, menurut mentor pemain itu, Jan Age Fjortoft.

Bintang Norway itu meninggalkan RB Salzburg untuk ke Borussia Dortmund pada Januari lalu di sebalik dikaitkan dengan Red Devils.

Fjortoft yang juga bekas pemain antarabangsa Norway dan pernah beraksi bersama bapa Haaland, Alf Inge berkata, pemain berusia 19 tahun itu tidak berminat menyertai United kerana hatinya cukup dekat dengan Leeds United yang juga seteru setempat United.

Haaland dilahirkan di bandar itu ketika bapanya beraksi di Leeds dan mungkin berpeluang beraksi bersama England sebelum berhijrah ke Norway.

Fjortoft memberitahu Blood Red Podcast: "Haaland mungkin sesuai bersama mana-mana kelab termasuk Liverpool. Tapi apabila dia bercakap mengenai United, dia juga menyentuh Leeds United.

"Saya rasa pada satu masa nanti dia akan berhijrah ke England tetapi sekarang umurnya baru 19 tahun dan dia harus diberi ruang.

"Kita perlu melihat bagaimana perkembangannya tetapi yang penting dia berada di landasan tepat ketika ini," katanya.

Alf Inge beraksi 74 penampilan di Liga Perdana untuk Leeds antara 1997 hingga 2000 dan ia pastinya satu kejayaan untuk Leeds jika berjaya meyakinkan anaknya pula mengikut jejak langkah bapanya pada masa depan.

Pemain berusia 19 tahun itu mempamerkan aksi cemerlang musim ini apabila meledak 41 gol disemua pertandingan dan dia mungkin berpeluang menyertai Liverpool.

Disiarkan pada: June 13, 2020 @ 9:16am
d