arena

Tolonglah kami ingin berlatih...

Oleh Mohd Rafi Mamat

BUKAN sahaja hilang kecergasan malah turut hampir ketandusan rentak serangan yang sebelum ini menjadi senjata utama bagi menjinakkan lawan dipentas antarabangsa.

Ini diakui jaguh silat negara Mohd Al-Jufferi Jamari yang tidak dapat menyembunyikan lagi betapa lemahnya badanya selepas lebih tiga bulan tidak dapat mengikuti latihan di gimnasium termasuk kendalian jurulatih.

"Ikhlas berani saya katakan kini tidak lagi mampu mempamerkan aksi silat yang dimiliki sebelum ini berikutan terlalu lama tidak dapat mengikuti program latihan.

"Walaupun ada membuat latihan di rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diikuti Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarah (PKPB) dan kini Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) namun ia tidak sama dengan latihan yang diadakan sebelum ini.

"Justeru saya merayu kepada kerajaan supaya dapat mengkaji semula larangan sukan silat untuk mengadakan latihan di gimnasium dan dewan seperti yang dilakukan sebelum ini," katanya, di sini hari ini.

Dia menambah, diharapkan juga Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dapat membantu menyelesaikan kemelut ini demi atlet silat seterusnya peluang kontinjen silat negara yang akan bersaing pada Kejohanan Silat Dunia yang akan diadakan di Sarawak Mac tahun depan.

Al-Jufferi berkata, tahap kecergasan yang terlalu jauh menurun membuatkan dia tidak mampu lagi memberi tumpuan sekiranya penganjuran Kejohanan Silat Dunia diteruskan hujung tahun ini (sebelum diubah Mac 2021), mungkin dia kecundang lebih awal di gelanggang sendiri.

Tambahnya, sejak melalui tempuh rehat yang begitu panjang ini menyebabkan dia kini seolah hilang punca, kemampuan melakukan sepakan 10 kali secara berterusan sebelum ini tidak mungkin dapat dilakukan lagi hari ini.

"Saya bagi pihak atlet silat negara merayu kepada kerajaan supaya dapat mempertimbangkan untuk diberi kelonggaran kepada sukan silat menjalani latihan di gimnasium serta dewan dibawah kendalian jurulatih.

"Kami berjanji untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan terutama membabitkan penjarakan sosial dan pengunaan pembasmi kuman termasuk mencatat suhu badan sebelum mengikuti latihan.

"Tolong jangan menjadikan sukan silat seperti anak tiri, kami perlu berlatih sama seperti sukan lain sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Silat Dunia tidak lama lagi," katanya yang berharap kerajaan dapat mengkaji permohonan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka).

Al-Jufferi berkata, rakanya di Thailand, Indonesia, Brunei dan Vietnam sudah lama menjalani latihan walaupun negara mereka dalam perintah kawal.

Disiarkan pada: June 13, 2020 @ 5:01pm
d