arena

Rebic dituduh lupa cara bermain bola sepak [VIDEO]

Oleh Agensi

PENYERANG AC Milan, Ante Rebic hanya sempat beraksi kurang 20 minit apabila dilayangkan kad merah berikutan terjahan keras dalam saingan separuh akhir kedua Piala Itali menantang Juventus.

Kad merah berkenaan hadir sejurus sepakan Cristiano Ronaldo menyinggah tiang lawan, apabila pemain antarabangsa Croatia itu melakukan sepakan kung fu ke badan pertahanan kanan Juve, Danilo ketika dalam usaha untuk merebut bola.

Rebic diperintah keluar padang selepas pengadil merujuk Video Bantuan Pengadil (VAR), menyaksikan pasukannya terpaksa bermain dengan 10 pemain seterusnya kedudukan 1-1 separuh akhir pertama kekal sehingga tamat aksi sebenar.

Aksi yang berlangsung di Turin itu adalah saingan bola sepak pertama di Itali yang ditangguhkan akibat penularan wabak Covid-19 dan tindakan Rebic itu membuatkan peminat di laman sosial tertanya-tanya sama ada penyerang berkenaan sudah lupa cara bermain bola sepak.

"Rebic sudah lupa bagaimana cara bermain bola sepak," kata peminat, ChrisvLFC di akaun Twitter.

Ada juga yang menggambarkan Rebic seperti bintang gusti, Shawn Michael selepas melakukan tendangan berkenaan.

Walaupun Juventus gagal mengatasi kekurangan lawan bermain tanpa seorang pemain, mereka masih layak ke perlawanan akhir berdasarkan peraturan gol tempat lawan.

Disiarkan pada: June 13, 2020 @ 7:21pm
d