arena

Cindy buru rekod dunia [VIDEO]

Oleh Aida Adilah Mat

BEKAS perenang negara yang melakar nama dalam kategori Masters, Cindy Ong berharap mampu meleburkan rekod dunia bersama-sama bintang renang terkemuka dari Russia, Vladimir Morozov dalam acara berganti-ganti.

Cindy berkata, dia mengenali pemenang rekod dalam acara 100m rampaian itu menerusi sahabatnya Peter Ford yang menyatakan persetujuan untuk membentuk satu pasukan bersama-sama dalam usaha mereka memecahkan rekod dunia dalam acara berganti-ganti.

Perkara itu dilihat bukan satu yang mustahil kerana masing-masing mempunyai kelebihan dalam acara masing-masing.

Malah Cindy yang menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-36 minggu lalu menerima ucapan ulang tahun daripada daripada Morozov menerusi video.

"Hey Cindy, selamat hari jadi. Tahniah kerana memenangi pingat emas. Saya harap satu hari nanti kita boleh memecahkan rekod dunia bersama-sama," kata Morozov.

Terdahulu Cindy menghadiahkan lima emas dan dua perak ketika beraksi di Kejohanan Dunia Master di Gwangju tahun lalu, menarik perhatian perenang dunia itu.

Cindy ketika dihubungi turut memaklumkan betapa dia teruja untuk bekerjasama dengan Morozov. "Saya mahu cuba melakarkan sejarah untuk negara. Bukan setakat memenangi pingat emas tapi saya mahu lebih daripada itu iaitu memecahkan rekod dunia.

"Bagaimanapun saya tidak menetapkan masa jika tidak dapat melakukannya tahun ini saya akan berusaha melakukannya tahun depan di kejohanan apa masih belum diputuskan," katanya.

Morozov adalah pemenang pingat gangsa Olimpik London turut pernah meraih enam emas di kejohanan dunia.

Dalam perkembangan yang sama, Persekutuan Renang Asia memutuskan untuk menangguhkan Kejohanan Masters Renang Asia Da Nang, Vietnam dari 26 hingga 31 Oktober ini.

Cindy sebelum ini berjaya meraih tujuh emas dua tahun lalu.

Disiarkan pada: June 13, 2020 @ 7:47pm
d