arena

Chong Wei genggam erat tangan Mew Choo

Oleh Ferzalfie Fauzi

KEKUATAN Datuk Lee Chong Wei ketika ingin mengumumkan persaraan setahun yang lalu adalah datang dari isterinya, Datin Wong Mew Choo.

Dalam entri mengimbau kembali pengumuman persaraan setahun yang lalu di laman sosial, Chong Wei mengakui bahawa Mew Choo banyak memberikannya kekuatan walaupun beliau akan berdepan situasi sangat berat.

"Ketika kami menuju ke Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) saya diberitahu media dari seluruh dunia akan menghadiri sidang media itu.

"Di dalam perjalanan ke sana saya memegang skrip ucapan persaraan dan berharap mampu mengingati segalanya. Tangan saya sebelah lagi? sudah tentu menggenggam erat tangan Mew Choo," katanya di laman sosial, Facebook hari ini.

Ujar bekas pemain nombor satu dunia itu, Mew Choo sejak malam sebelum hari persaraan lagi sudah memainkan peranan untuk menenangkannya.

"Beliau (Mew Choo) memandang ke arah mata saya. Saya hilang kata-kata malam itu. Beliau memeluk dan berbisik kepada saya, 'awak sudah memberikan segalanya.

"Ketika itu saya membuka almari untuk melihat jaket Yonex belang harimau untuk dipakai keesokan hari di sidang media berkenaan," kata Chong Wei.

Beliau juga mengakui sebenarnya sudah terlupa mengenai urutan skrip pengumuman persaraan pada hari kejadian dan hanya mengingati isi penting saja.

"Kawan saya sudah menyiapkan skrip pada sebelum sidang media berkenaan. Saya cuba menghafal skrip itu dan senang saja. Anak saya Kingston juga memuji saya fasih bahasa Melayu dan Inggeris.

"Tapi keesokan harinya 'grammar tunggang-langgang', bahasa Melayu entah ke mana. Tapi bila mengimbau kembali latihan awal pagi, gurau-senda rakan sepasukan, jeritan 'Lee Chong Wei' daripada penyokong, berdiri di podium memandang 'Jalur Gemilang', saya sudah tidak tahan di meja sidang media. Saya menangis," katanya.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik tiga edisi berturut-turut itu mengakui selepas setahun mengumumkan persaraan, beliau sudah tidak sama seperti dulu.

"Bagaimanapun, saya rasa membuat keputusan tepat. Sudah memberikan segalanya, lakukan terbaik walaupun adakalanya yang terbaik belum mencukupi," kata Chong Wei.

Disiarkan pada: June 13, 2020 @ 10:26pm
d