arena

Aston Martin bukan destinasi Vettel

Oleh Agensi

BOS Racing Point, Otmar Szafnauer berkata, tiada sebarang perbincangan antaranya dengan Sebastian Vettel berhubung prospek untuk memandu jentera pasukan Formula Satu (F1), Aston Martin pada tahun depan.

Masa depan Vettel menjadi topik utama ketika ini sejak Ferrari mengesahkan juara dunia empat kali itu akan meninggalkan pasukan itu pada hujung tahun ini sebaik kontraknya tamat.

Sejak itu, sensasi Jerman itu dikaitkan dengan Mercedes, Renault dan pasukan baru, Aston Martin yang akan kembali beraksi di F1 bermula musim depan menerusi penjenamaan semula Racing Point.

Szafnauer sudah menyatakan pasukan itu tidak akan menggunakan khidmat pemandu ternama pada tahun depan dan terbaru beliau mengesahkan tiada sebarang perbincangan bersama Vettel.

"Vettel dan saya adalah rakan baik sejak sekian lama, malah saya mengenalinya sebelum dia beraksi di perlumbaan F1 lagi.

"Dia tidak menghubungi saya, jadi saya boleh sahkan tiada sebarang perbincangan," kata Szafnauer.

"Saya tidak boleh bercakap bagi pihak Vettel tetapi kita semua tahu dia sudah melaksanakan tugas dengan baik. Dia berjaya meraih kemenangan bersama Toro Rosso di awal karier sebelum muncul juara dunia empat kali.

"Pada usia 33 tahun dia masih lagi mempunyai peluang untuk berlumba dan sangat kompetitif," katanya.

Szafnauer menegaskan beliau gembira dengan barisan pelumba sedia ada iaitu Sergio Perez dan Lance Stroll dan tidak bercadang untuk melakukan sebarang perubahan pada tahun depan.

Disiarkan pada: June 14, 2020 @ 11:01am
d