arena

Djokovic tak berkarat

Oleh Agensi

PEMAIN tenis nombor satu dunia, Novak Djokovic memenangi aksi pembukaan Jelajah Adria ketika barisan pemain elit dunia kembali beraksi buat kali pertama selepas semua kejohanan ditangguhkan berikutan pandemik Covid-19.

Bintang Serbia berusia 33 tahun itu menewaskan rakan senegara, Viktor Troicki 4-1 4-1 di Belgrade dalam tempoh 34 minit.

Djokovic merancang kejohanan itu bagi membantu pemain kembali memperoleh tahap kecergasan sebenar selepas beberapa bulan tidak beraksi dengan beberapa perubahan format perlawanan.

Kejohanan membabitkan negara Balkan itu berjaya menarik minat kehadiran 4,000 penyokong.

Bagaimanapun pusingan ketiga kejohanan yang dijadual berlangsung di Montenegro terpaksa dibatalkan kerana rakyat Serbia dihalang daripada memasuki negara itu kerana pandemik Covid-19.

Pada satu ketika, Troicki dilihat membantu pengutip bola untuk memberikannya kepada Djokovic yang juga pemenang 17 gelaran Grand Slam.

Sementara itu, pemain nombor 145 dunia dari Serbia, Nikola Milojevic yang menggantikan Damir Dzumhur pada saat akhir, menewaskan pemain nombor 19 dunia dari Bulgaria, Grigor Dimitrov 4-1 4-3.

Rakan senegara Milojevic, Dusan Lajovic hampir menewaskan pemain nombor tiga dunia, Dominic Thiem namun sensasi Austria itu berjaya mencatatkan kemenangan 1-4 4-1 4-3 (8-6).

Disiarkan pada: June 14, 2020 @ 12:18pm
d