arena

Keputusan tepat tangguh kejohanan dunia

Oleh Mohd Rafi Mamat

JAGUH silat negara, Mohd Al-Jufferi Jamari menyambut baik keputusan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) yang mengubah tarikh penganjuran Kejuaraan Pencak Silat Dunia edisi ke-20 kepada Mac tahun depan.

Sebelum ini pertandingan yang akan menghimpunkan lebih 1,000 pesilat tempatan dan antarabangsa itu dijadualkan diadakan Ogos depan sebelum dilanjutkan hujung tahun ini.

Al-Jufferi berkata, dalam keadaan sekarang amat tepat keputusan yang dibuat PESAKA dalam memastikan imej selaku tuan rumah tidak tercalar terutama apabila atlet gagal mencatat keputusan diharapkan

Katanya, selepas lebih tiga bulan tidak dapat mengikuti latihan agak mustahil barisan pesilat negara dapat memberi persembahan terbaik dalam memastikan kejayaan membanggakan diraih di gelanggang sendiri.

"Sedang pesilat Thailand, Indonesia, Brunei dan Vietnam sudah lama menjalani latihan namun kita masih lagi tidak dibenarkan berlatih hingga menyebabkan seluruh badan kini lemah.

"Dalam situasi sekarang saya yakin kita akan mudah tewas kepada pencabar yang sudah bersedia lebih awal," katanya, di sini hari ini.

Beliau berkata, secara peribadi dia memerlukan latihan yang panjang antara lima hingga tujuh bulan bagi mendapatkan kecergasan serta teknik sebenar sebagai pesilat.

Al-Jufferi berkata, selepas berehat terlalu panjang menyebabkan dia hampir hilang keyakinan untuk bertempur berhadapan lawan yang lebih awal membuat persediaan.

Disiarkan pada: June 14, 2020 @ 1:46pm
d