arena

La Liga anggap ceroboh padang satu jenayah

Oleh AFP

LA Liga sedia untuk melancarkan prosiding jenayah ke atas penceroboh padang yang berlari masuk ketika perlawanan di antara Barcelona menentang Real Mallorca, yang dilangsungkan secara tertutup.

Pada minit ke-52 di Son Moix, seorang peminat yang memakai jersi Argentina tertera nama Messi di belakanng masuk ke dalam padang dan mengambil gambarnya berhampiran Jordi Alba.

Peminat berkenaan tidak memakai pelitup muka dan sarung tangan sebelum dikejar serta diberkas oleh pengawal keselamatan.

La Liga menerapkan protokol ketat untuk perlawanan liga, bermula dengan aksi sulung antara Sevilla dan Real Betis Khamis lalu.

Tidak lebih daripada 300 orang dibenarkan berada di stadium dan perlawanan diadakan secara tertutup.

"La Liga akan membuka fail jenayah ke atas penceroboh yang masuk ke dalam padang tanpa kebenaran dan melanggar segala protokol yang ditetapkan dalam undang-undang kesihatan dan tidak mematuhi peraturan anggota keselamatan. Tindakannya itu adalah satu jenayah.

"La Liga memang mengecam tindakan seperti itu kerana ia membahayakan tahap kesihatan orang lain dan melanggar integriti pertandingan," katanya.

Disiarkan pada: June 14, 2020 @ 10:04pm
d