arena

Yakin silat dibenarkan berlatih tidak lama lagi

Oleh Mohd Rafi Mamat

SRIKANDI silat negara Siti Rahmah Mohamed Nasir menaruh keyakinan episod lampu hijau kebenaran sukan silat mengikuti latihan pasti muncul tidak lama lagi.

Menurutnya, dalam usaha memburu kejayaan dipentas antarabangsa terutama pada Kejuaraan Pencak Silat Dunia edisi ke-20 Mac tahun depan sudah tiba masanya kerajaan memikirkan keperluan diperlukan atlet silat kebangsaan yang kini begitu tertekan.

"Rata-rata atlet silat kini terus mengharapkan kebenaran mengadakan latihan dapat dikeluarkan kerajaan yang sebelum ini membenarkan beberapa acara sukan berlatih dengan syarat mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

"Penjarakan sosial dan pengunaan pembasmi kuman termasuk mencatat suhu badan sebelum mengikuti latihan pasti akan dilakukan bagi mengelak berlaku sebarang kejadian tidak diingini berlaku," katanya, di sini hari ini.

Dia menambah, sebelum ini Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) merayu kepada kerajaan supaya dapat membenarkan atlet sukan silat mengadakan latihan di gimnasium dan dewan dengan pengawasan jurulatih.

Mengenai penangguhan Kejuaraan Pencak Silat Dunia ke tahun depan, Siti Rahmah berkata ia memberi peluang atlet membuat persiapan yang lebih rapi sebelum melangkah masuk ke gelanggang berhadapan setiap pencabar.

Katanya, walaupun hanya mengadakan latihan sendirian sebelum ini namun ia tidak sama dengan latihan di gimnasium dan dewan yang dikendalikan jurulatih.

"Saya berharap sangat kerajaan dapat memberi kelonggaran kepada sukan silat mengikuti latihan seperti yang dilakukan sebelum ini.

"Kejayaan pasukan negara pada Kejuaraan Pencak Silat Dunia tahun depan bergantung kepada persiapan atlet, cepat latihan dapat diteruskan dapat memberi lebih kecergasan serta keyakinan," katanya yang kini menetap di Kuala Terengganu.

Dia menambah, tidak dinafikan keinginan untuk bertanding kini begitu menebal terutama apabila terpaksa melupakan beberapa pertandingan peringkat antarabangsa yang dibatalkan berikutan Covid-19.

Disiarkan pada: June 15, 2020 @ 4:31pm
d