arena

Main dengan PDRM kerja terjamin

Oleh Syazwan Msarmohd

PASUKAN PDRM menemui kaedah terbaik untuk menarik minat pemain bola sepak berbakat tanpa mengeluarkan modal yang banyak apabila mereka menawarkan peluang pekerjaan sebagai anggota atau pegawai polis kepada individu yang menyertai skuad The Cops.

Hal ini bermakna individu yang berminat dan berkelayakan dapat bermain bola sepak dan pada masa tidak perlu bimbang masa depan mereka apabila menggantung but kerana sudah dijanjikan pekerjaan terbabit.

Setiausaha Kehormat PDRM, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, inisiatif berkenaaan mampu menarik lebih ramai individu berkelayakan untuk bermain bola sepak dan pada masa terjamin pekerjaan.

"Perancangan kami pada musim depan adalah mengambil pemain dan menawarkan mereka peluang pekerjaan mengikut kelayakan masing-masing.

"Inisiatif berkenaan mampu mengurangkan perbelanjaan PDRM dan pada masa sama mereka juga boleh berkhidmat kepada masyarakat.

"Tawaran itu juga membabitkan pemain untuk pasukan Belia dan Presiden seterusnya bakal menggalakkan lagi penyertaan individu daripada seluruh negara," katanya, di sini.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya akan membayar pampasan kepada pemain yang terkesan akibat penutupan skuad Liga Belia dan Presiden dalam masa terdekat ini.

"Segala pampasan akan dibayar kepada pemain berkenaan mengikut garis panduan yang sudah ditetapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)," katanya.

Disiarkan pada: June 15, 2020 @ 7:54pm
d