arena

Venus pasang impian raih gelaran

Oleh AFP

KALI pertama Venus Williams melangkah ke gelanggang tenis di Oakland untuk penampilan profesional pada 1994, konsert Rolling Stone dalam masa sama turut berlangsung di stadium berhampiran.

Selepas 20 tahun, Venus seperti anggota kumpulan itu, Mick Jagger dan Keith Richards, semakin dimamah usia dan meneruskan kehidupan mengikut rentak masing-masing.

Bintang tenis Amerika itu meraikan ulang tahun kelahiran yang ke 40 pada Rabu ini ketika musim tenis terhenti berikutan krisis Covid-19 yang menghentikan kalendar acara sukan.

Bekas pemain nombor satu dunia itu bagaimanapun berkata tidak ada potensi untuknya menyerah kalah dalam karier yang membawanya memenangi tujuh kejuaraan perseorangan Grand Slam, empat pingat emas Olimpik dan himpunan kemenangan dalam beberapa kejohanan.

Dia mahu meneruskan aksi dan mencipta peluang mencatat rekod ketika kejuaraan terakhir perseorangannya hadir dalam acara Jelajah WTA di Taiwan pada 2016.

Venus ternyata tidak akan menggantung raketnya dalam tempoh terdekat ini.

"Kamu pasti ada impian, jadi saya dengan impian saya sendiri," kata Venus kepada laman sesawang Tennis Majors dalam temubual awal bulan ini.

Dia mendedahkan masih mahu mencabar di Terbuka Australia dan Perancis, iaitu dua Grand Slam yang belum dicapainya.

"Saya mahu menang Roland Garros. Saya tidak jauh daripadanya. Begitu juga Terbuka Australia: Saya cuma tidak bernasib baik, saya sentiasa terlepas kejuaraan," kata Venus.

Impian untuk melengkapkan karier 'Golden Slam' kekal sebagai cabaran sukar.

Adiknya, Serena pula kerap menarik perhatian di Grand Slam sementara Venus pula hampir 12 tahun menang Slam terakhirnya ketika menjuarai Kejuaraan Wimbledon 2008.

"Saya kemungkinan tidak akan bermain sepanjang masa seperti aksi yang pernah saya lalui," katanya.

"Kita lihat bagaimana perasaan dan keadaan saya. Saya suka menang, tapi apabila ia sudah berakhir, ia tetap berakhir."

Disiarkan pada: June 16, 2020 @ 8:32am
d