arena

Favre sedia tanpa Sancho, Hakimi

Oleh Agensi

JURULATIH Borussia Dortmund, Lucien Favre sedar bahawa tiada jaminan mengenai masa depan dapat mengekalkan bintang muda, Jadon Sancho dan Achraf Hakimi dalam pasukannya.

Bekas sayap Manchester City, Sancho, sudah sekian lama dikaitkan dengan kepulangan ke Liga Perdana Inggeris dan Manchester United dilaporkan antara pasukan utama menjadi pilihannya.

Masa depan Hakimi juga masih belum jelas memandangkan tempoh pinjamannya dari Real Madrid dijangka tamat penghujung musim ini dan Dortmund masih belum bersetuju untuk menyambung khidmatnya.

Walaupun impak daripada pendemik Covid-19 mendorong trend penurunan dalam pasaran pemain di seluruh Eropah, ia masih belum jelas sama ada Dortmund dapat mengekalkan Hakimi dan menghalang Sancho.

Favre bersedia dengan kemungkinan kehilangan dua pemain itu sekalipun masih berharap agar mereka dapat kekal di Signal Iduna Park untuk musim 2020-21.

"Kami akan melihatnya selepas musim ini." katanya.

"Sudah pasti pemain akan pergi. Kami berharap pemain akan kekal tetapi ada kemungkinan mereka akan meninggalkan pasukan.

"Anda sudah menamakan dua (Hakimi dan Sancho) yang kami juga tidak pasti mengenainya.

"Sudah pasti mereka boleh kekal bersama kami, di mana ia sudah cukup baik buat saya.

"Tetapi kami akan melihat apa yang kami dapat lakukan, sama ada di bahagian pertahanan, tengah atau serangan," katanya.

Dortmund akan menerima kunjungan Mainz pada awal pagi Khamis ini bagi saingan perlawanan Bundesliga namun Bayern Munich mungkin dapat mengesahkan kejuaraan mereka jika berjaya menewaskan Werder Bremen awal pagi esok.

Disiarkan pada: June 16, 2020 @ 9:40am
d