arena

Siapa calon anugerah Golden Boy?

Oleh Agensi

SERAMAI 100 pemain muda bersama pasukan bola sepak utama berusia bawah 21 tahun berada dalam 'senarai panjang' bagi anugerah Golden Boy, tahun ini.

Penganjur dari Itali, Tuttosport tampil menerusi anugerah berkenaan pada 2003, untuk mengiktiraf pemain muda terbaik di Eropah, beraksi dalam salah satu liga utama dan menjadikan ia sebagai salah satu daripada anugerah berprestij di Eropah.

Akhbar mengumumkan tahun ini senarai daripada 100 pemain, yang akan ditapis beberapa bulan akan datang hingga pemenang akan diumumkan.

Dalam senarai itu 21 pemain terdiri daripada pemain Liga Perdana Inggeris antaranya bintang muda Manchester City, Phil Foden serta Eric Garcia; pemain Chelsea, Faustino Anjorin, Billy Gilmour dan Callum Hudson-Odoi.

Pemain lain yang turut berada dalam senarai Angel Gomes, James Garner, Mason Greenwood (Manchester United), Gabriel Martinelli, Trae Bailey Coyle, Bukayo Saka (Arsenal), selain Curtis Jones, Yasser Larouci dan Sepp van den Berg (Liverpool).

Turut berada dalam senarai tonggak Spurs, Ryan Sessegnon dan Oliver Skipp.

Anak kepada kapten lagenda Itali dan AC Milan, Paolo Maldini iaitu Daniel Maldini yang kini bersama AC Milan turut tersenarai.

Bintang yang menyinar di Bundesliga antaranya, Erling Braut Haland, Jadon Sancho (Borussia Dortmund) dan Paulinho (Bayer Leverkusen) berada dalam senarai.

Tidak ketinggalan bintang muda Real Madrid, Rodrygo dan Vinicius Jr serta Ansu Fati (FC Barcelona).

Selain wakil pemain Asia antaranya pemain Real Madrid yang dipinjamkan ke Mallorca, Takefusa Kubo, pemain tengah Valencia dari Korea Selatan, Lee Kang-in serta pemain Jepun yang mencipta nama di liga Belanda bersama AZ Alkmaar, Yukinari Sugawara.

Pemenang anugerah berprestij berkenaan dinilai berdasarkan kualiti permainannya dan disebut-sebut antara bintang bola sepak masa depan.

Rafael van der Vaart adalah pemenang pertama sekitar 17 tahun lalu dan pemain Belanda itu diikuti oleh Wayne Rooney, Lionel Messi, Cesc Fabregas dan Sergio Aguero.

Sejak kebelakangan ini, Paul Pogba, Raheem Sterling, Kylian Mbappe dan Matheus de Ligt kesemuanya memenangi anugerah itu.

Disiarkan pada: June 16, 2020 @ 1:09pm
d