arena

NS pasukan pertama jalani latihan [METROTV]

Oleh Firdaus Hashim

SELEPAS berbulan-bulan sepi tanpa aktiviti bola sepak, pertahanan Negeri Sembilan (NS), Shahrom Kalam, mengakui dia dan rakan sepasukan tidak pernah merasai perasaan cukup teruja seperti mana hari ini apabila menjalani latihan buat pertama kali sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan 18 Mac lalu kerana pandemik Covid-19.

Walaupun perlu mematuhi pelbagai Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan, Shahrom menegaskan situasi itu tidak menghalang mereka menjalani latihan dengan penuh kesungguhan dalam membentuk kembali kekuatan fizikal selepas sekian lama terpaksa berlatih bersendirian.

Tambahnya, dia dan pemain lain langsung tidak berdepan sebarang masalah dalam mengikuti segala SOP biarpun berdepan sedikit kejanggalan kerana tidak dibenarkan melakukan sentuhan pemain dan perlu terus pulang sebaik latihan tamat.

"Pertama sekali, sebaik kami sampai di padang latihan hari ini, saya boleh nampak semua pemain terlalu teruja selepas tiga bulan kami tidak pernah turun menjejakkan kaki ke padang malah semua berikan komitmen lebih 100 peratus.

"Daripada segi SOP, kami semua langsung tidak ada sebarang masalah untuk ikut terutama dalam penjarakan sosial biarpun tidak dinafikan ada perasaan janggal pada awal hingga akhir latihan.

"Apa yang penting, saya rasa amat bersyukur kami sudah boleh jalani latihan kerana itu paling mustahak berbanding berlatih secara bersendirian sebab cukup penting kami berjumpa sesama sendiri memandangkan bola sepak adalah sukan berpasukan," katanya.

Negeri Sembilan jadi pasukan pertama yang mendapat kebenaran menjalani latihan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sejak Majlis Keselamatan Negara (MKN) memberi lampu hijau kepada semua pasukan Liga Malaysia (Liga-M) berlatih di bawah SOP yang ditetapkan.

Empat kriteria utama yang perlu dipatuhi oleh semua pasukan ialah melakukan ujian calitan atau 'swab test', melantik pegawai penyelaras, menamakan pusat latihan dan mendaftarkan melalui pautan miti.gov.my (MITI) selain venue juga perlu melakukan proses nyahkuman atau sanitasi.

Skuad Hobin Jang Hobin yang sebelum ini menjalani latihan di padang Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) di Rahang memilih Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi sebagai gelanggang latihan bagi memenuhi SOP ditetapkan iaitu berlatih di venue tertutup.

Dalam pada itu, ketua jurulatih Negeri Sembilan, Sazali Saidun berkata, sesi latihan hari ini dipecahkan kepada tiga kumpulan yang membabitkan sembilan pemain bagi setiap kumpulan serta empat pegawai dalam tempoh 45 minit.

"Bagi latihan tanpa ada 'body contact', saya tidak boleh gunakan teknik latihan yang terlalu kompleks dan mungkin menumpukan kepada aspek teknikal dan fizikal.

"Namun sekurang-kurangnya melalui kehadiran pemain di depan mata saya, saya boleh mengawal tahap intensiti setiap pemain serta mengikut kehendak saya berbanding sebelum ini.

"Pada pandangan saya, kita juga tidak perlu tergesa-gesa mahu meminta berlatih menggunakan 'body contact' memandangkan masa masih banyak iaitu dalam dua bulan lagi sebelum sepak mula 1 September ini, " katanya.

Disiarkan pada: June 16, 2020 @ 3:01pm
d