arena

Lima pasukan Liga M bebas Covid-19

Oleh Syazwan Msar

SEKURANG-kurangnya lima pasukan Liga Malaysia (Liga M) boleh menarik nafas lega apabila selesai ujian pertama membabitkan 'swab test' sekali gus bakal mendapat lampu hijau selepas disahkan pegawai dan pemain negatif Covid-19.

Ujian berkenaan penting kepada pasukan Liga M bagi membolehkan mereka menjalani latihan selepas tiga bulan berehat akibat Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) bagi mengekang penularan pandemik berkenaan.

Antara pasukan yang boleh dikatakan boleh bermula latihan dalam waktu terdekat adalah Perak, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Negeri Sembilan.

Menerusi Facebook Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menyatakan Kedah dan Perak antara pasukan Liga M yang sudah melakukan Ujian Calitan atau 'Swab Test' ke atas semua pemain dan pegawai iaitu Prosedur Standard Operasi (SOP) sebelum mereka dibenarkan berlatih mulai 15 Jun ini.

SOP itu selaras dengan ketetapan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Setiap keputusan ujian perlu dihantar kepada MFL di mana hanya pegawai dan pemain yang disahkan negatif dibenarkan melakukan aktiviti latihan pasukan.

Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA) Mohd Ashiq Abd Samad berkata, pemain dan pegawai pasukannya sudah menjalani ujian berkenaan dan akan menunggu keputusan daripada MFL dalam masa terdekat ini.

"Kami sudah melakukan ujian terbabit dua hari lalu dan setakat ini semuanya negatif Covid-19 sekali gus sudah bersedia menjalani latihan nanti," katanya ketika dihubungi Arena Metro. Selain itu, pasukan PDRM dan Kelantan pula akan melakukan ujian berkenaan dalam minggu ini dan akan selesai segala SOP yang ditetapkan MFL dengan kadar segera.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Ab Ghani Hassan ketika dihubungi berkata, ujian berkenaan adalah penentu kepada peringkat seterusnya dalam usaha memastikan saingan liga boleh beraksi pada September ini.

"MFL mahu semua pasukan patuh kepada setiap SOP yang ditetapkan dan kita tidak mahu ada pula kes positif Covid-19 di kalangan pemain nanti," katanya.

Disiarkan pada: June 16, 2020 @ 6:35pm
d