arena

Abadi nama Sultan Ahmad Shah di Soccer City

Oleh BERNAMA

KERAJAAN berhasrat mengabadikan pembangunan fasiliti sukan dengan anggaran kos lebih RM500 juta kepada ikon kepimpinan sukan negara, Almarhum Sultan Ahmad Shah.

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata, projek 'Soccer City' itu adalah inisiatif Almarhum Sultan Ahmad Shah ketika memimpin Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM).

"Waktu itu saya Timbalan Presiden FAM, ini idea daripada Almarhum Sultan Ahmad Shah supaya pejabat AFF (Persekutuan Bola Sepak ASEAN), AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) dan FAM berpindah ke Putrajaya. Ia telah dipermudahkan kerana Tuanku mengambil berat, memberikan tanah dan sebagainya.

"Jadi saya fikir wajar untuk menamakannya sebagai 'Sultan Ahmad Shah Soccer City' atau 'Sultan Ahmad Shah Soccer and Sports City' kerana baginda merupakan aktivis sukan negara yang unggul," katanya pada sidang media majlis pertukaran dokumen dan penyampaian insentif sukan Wilayah Persekutuan di Putrajaya, hari ini.

Annuar berkata beliau akan mengadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Isnin ini untuk merafak sembah pohon perkenan menggunakan nama Almarhum Paduka Ayahandanya secara rasmi.

Terdahulu, Annuar dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyaksikan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Dr Aminuddin Hassim, bertukar dokumen dengan Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin dan Setiausaha Agung AFC Datuk Windsor Paul John.

Sementara itu, Hamidin berkata, pembangunan Soccer City di Presint 5 Putrajaya bakal menjadi mercu tanda dan pusat sehenti yang dilengkapi ibu pejabat pentadbiran FAM dan AFF serta sebuah Kompleks Latihan Pasukan Kebangsaan berdekatan di presint sama.

"Soccer City akan menjadi hab pembangunan bola sepak besar yang merangkumi ibu pejabat untuk badan induk Asia, Asean dan Malaysia selain kelengkapan stadium mini dan padang bola sepak yang mampu menampung program bola sepak di peringkat akar umbi sehingga kebangsaan," katanya.

Ibu pejabat baharu FAM ini berpandukan model terkini dilengkapi ruang pejabat yang boleh memuatkan 200 kakitangan.

Sebelum itu, Hamidin menerusi rungan 'Anda Tanya Presiden Jawab' memberitahu bangunan berkenaan bakal siap dalam tempoh dua tahun lagi dan dilengkapi pelbagai kemudahan.

Disiarkan pada: June 16, 2020 @ 9:39pm
d