arena

Boleh beraksi tiga kelab satu musim

Oleh Syazwan Msar

TIGA kelab berlainan untuk satu musim. Itu antara peraturan baru diperkenalkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) bagi meringankan beban ditanggung pemain akibat pandemik Covid-19.

Ini bermakna pemain yang terjejas akibat pandemik seperti tidak dibayar gaji atau pasukan menghadapi masalah kewangan boleh memohon pelepasan untuk mewakili kelab lain pada musim ini dengan maksimum tiga pasukan sahaja.

Malah, pasukan yang terjejas juga boleh menjual atau meminjam pemain kepada pasukan lain bagi mengelak mereka dibebani dengan masalah kewangan yang lebih buruk.

Peraturan ditetapkan sebelum ini membenarkan setiap pemain hanya mendaftar untuk dua pasukan sahaja dalam satu musim menerusi pinjaman atau dijual kelab asalnya.

Menjelas lagi perkara berkenaan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam memaklumkan pihaknya akan mengguna pakai peraturan sementara itu bagi memberi peluang kepada pemain berpindah ke pasukan lain.

Beliau berkata, FAM akan mengkaji terlebih dahulu keputusan baru Fifa terbabit dan akan membuat penyesuaian berdasarkan situasi semasa Liga M.

"Antara situasi yang mungkin menyebabkan pemain bermain tiga kelab sebagai contoh pemain Ali bermain dengan pasukan A sebelum dipinjamkan ke pasukan B namun akibat pandemik Covid-19, dia dijual pula kepada pasukan C.

"Sekiranya keputusan itu dikuatkuasakan, kita harus mengikutinya namun perlu mengkaji terlebih dahulu sebelum meneruskannya,"katanya.

Mengikut rekod, setakat ini tiada lagi pemain bermain atau didaftarkan untuk tiga kelab berbeza akibat pandemik Covid-19.

Disiarkan pada: June 16, 2020 @ 10:31pm
d