arena

Guardiola risau pemain tak cergas layan Arsenal

Oleh AFP

PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola bimbang pemainnya tidak bersedia untuk kembali beraksi dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Juara bertahan EPL menerima kunjungan Arsenal awal pagi Khamis ini dalam perlawanan kedua Liga Perdana yang kembali bersambung selepas tiga bulan berehat susulan pandemik koronavirus.

City beraksi sekali lagi pada Isnin apabila Burnley berkunjung ke Stadium Etihad dan jadual ketat akan berterusan seperti dirancang sehingga penghujung musim pada Julai depan.

Dengan ketua-ketua Liga Perdana mahu menamatkan baki 92 perlawanan dalam tempoh kurang enam minggu dan pasukan tidak mempunyai banyak masa untuk persiapan, Guardiola resah dengan tahap kecergasan pemainnya berdepan jadual padat.

"Kami bersedia beraksi satu perlawanan tetapi selepas tiga hari atau empat hari, kami tidak bersedia," kata Guardiola kepada wartawan dalam sidang video hari ini.

"Kami perlu gilirkan pemain dan menggunakan kesemuanya. Anda boleh beraksi selepas tiga minggu bercuti tetapi kami habiskan masa dua minggu di atas sofa tanpa banyak melakukan apa-apa. Itu sebabnya pemain kami tak cergas sepenuhnya."

Guardiola berkata, aksi menentang Arsenal akan menjadi petunjuk tahap kecergasan pemainnya sekarang.

"Apa yang kami risau sejak tiga minggu lalu ialah kekurangan persiapan, tidak seperti di Jerman atau Sepanyol, mereka berlatih sejak lima atau enam minggu lalu," katanya.

Disiarkan pada: June 16, 2020 @ 11:00pm
d