arena

Pemain lega kembali ke gelanggang

Oleh Aida Adilah Mat

BARISAN pemain badminton negara yang berada dalam program Road to Tokyo (RTT) pastinya lega dapat kembali ke gelanggang latihan dan kini berada dalam fasa pemulihan.

Namun untuk kembali ke prestasi terbaik sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kesemua pemain memerlukan sekurang-kurangnya dua minggu lagi.

Pengarah kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann berkata, tempoh sebulan yang diberikan kerajaan sudah cukup buat pemain kembali mendapatkan rentak terbaik mereka.

Katanya, semuanya berjalan mengikut apa yang dirancang termasuk proses pemulihan otot dengan sesi latihan di gimnasium sudah dilakukan sebanyak dua kali.

"Buat ketika ini belum ada lagi peningkatan mutu permainan kerana atlet baru memasuki fasa pemulihan. Peningkatan itu mungkin dapat dilihat dua minggu lagi. Kesemua pemain pula mengatakan mereka lega dan bersemangat dapat kembali berlatih di atas gelanggang tetapi pada masa g sama ada juga rasa kurang selesa kerana sudah lama tidak berlatih.

"Tapi itu perkara biasa dan saya lihat pemain sudah mendapatkan balik sentuhan pukulan namun intensiti belum cukup baik lagi," katanya.

Terdahulu kesemua atlet yang berkampung di Akademi Badminton Malaysia (ABM) sudah melalui sesi ujian swab yang ketiga, semalam.

Mereka kini tidak berdepan masalah untuk terus menjalani latihan bagi tempoh dua minggu lagi yang mana kem latihan berkonsepkan kuarantin itu akan tamat 30 Jun ini.

Disiarkan pada: June 17, 2020 @ 12:03am
d