arena

Terbuka AS diteruskan tanpa penonton

Oleh AFP

KEJOHANAN Tenis Terbuka AS akan diteruskan mengikut jadual pada Ogos ini tapi tanpa penonton, perkara itu disahkan oleh pegawai kejohanan.

Selepas beberapa minggu pertanyaan mengenai nasib penganjuran kejohanan itu yang berlangsung di lokasi utama krisis Covid-19 di AS - Gabenor New York, Andrew Cuomo akhirnya memberi lampu hijau kepada penganjuran kejohanan itu.

"Kejohanan Terbuka AS akan berlangsung di Queens, NY, tanpa peminat dari 31 Ogos hingga 13 September," umum Cuomo di Twitter.

Pemimpin New York berkata Persatuan Tenis AS (USTA) akan mengambil langkah berjaga-jaga yang luar biasa untuk melindungi pemain dan kakitangan semasa kejohanan itu.

Beberapa protokol keselamatan diambil termasuk ujian saringan, tambahan kebersihan, tambahan ruang almari dan penginapan serta pengangkutan khas, tambah Cuomo.

Keputusan sudah dimuktamadkan selepas laporan pada Isnin menyatakan perancangan USTA bagi kejohanan yang mendapat sokongan daripada ATP dan Jelajah WTA.

Kejohanan ATP/WTA Cincinnati serta Terbuka Western & Southern juga akan berlangsung di Pusat Tenis Nasional Billie Jean King USTA sebagai kejohanan berikutnya.

USTA mencadangkan untuk memindahkan kejohanan ke New York dalam usaha mengurangkan perjalanan buat pemain yang mengambil bahagian dan kedua-dua kejohanan berikut.

Disiarkan pada: June 17, 2020 @ 9:16am
d