arena

Guardiola panggil semula David Silva

Oleh Agensi

MANCHESTER City akan menjemput semula David Silva ke kelab itu apabila peminat dibenarkan hadir sebagai tanda perpisahan untuk khidmat sedekad pemain itu bersama kelab berkenaan.

Pengurus City, Pep Guardiola mengesahkan Silva akan kekal di Stadium Etihad hingga perubahan jadual musim berakhir pada Ogos ini.

Bagaimanapun, pemain berusia 34 tahun sudah mengambil keputusan mahukan cabaran lain, dengan Qatar dikatakan menjadi pilihan utama pemain tengah yang memenangi Piala Dunia bersama Sepanyol itu.

Ia bermakna semua perlawanan terakhir karier pemain itu di City berlangsung dalam aksi tertutup.

"Agak malang David akan menamatkan aksi dalam perlawanan terakhir di sini tanpa peminat.

"Tiada siapa yang mahukannya tapi situasi menjadi seperti ini," kata Guardiola.

Selepas Yaya Toure, Pablo Zabaleta, Joe Hart dan Vincent Kompany, pemergian Silva menandakan kehilangan satu lagi pemain di era emas City, skuad yang menguasai hampir semua kejuaraan utama domestik di liga Inggeris.

"Pemain luar biasa ini sangat mengetahui apa yang mereka sudah lakukan untuk menjadikan kelab yang terbaik ketika ini," kata Guardiola.

"David akan kekal sehingga hujung musim ini dan apabila semuanya kembali seperti normal dia akan datang semula dan diharap dia dapat diraikan pada majlis perpisahan besar bersama peminat."

Disiarkan pada: June 17, 2020 @ 11:01am
d