arena

Mesej emosi Klopp untuk peminat cilik

Oleh Agensi

PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp menegaskan pasukannya akan melakukan apa sahaja untuk menjuarai Liga Perdana demi peminat mereka berusia empat tahun yang menghidap kanser.

Liverpool bakal menamatkan penantian 30 tahun dengan menewaskan musuh Merseyside, Everton pada awal pagi Isnin tetapi sebelum itu perlu mengharapkan juara bertahan Manchester City tewas di tangan Arsenal awal pagi esok.

Klopp berkata, dia mahu mendedikasikan kejayaan Liverpool kepada William Watkins selepas mendapat tahu nasib menimpa peminat cilik itu yang menghidap kanser.

Ibu bapa William, Ian dan Nicola menerima berita sedih minggu lalu bahawa sel kanser di otak anak mereka telah merebak ke tulang belakang dan tanpa rawatan segera kimoterapi dia hanya mampu bertahan lapan minggu sahaja.

Klopp dalam video penuh emosi menjelang aksi menentang Everton berjanji pemainnya akan memberikan segalanya untuk muncul juara bagi menaikkan semangat William.

Klopp berkata: "Hai William, saya dengar anda penyokong setia Liverpool, anda mungkin kenal saya Jurgen Klopp, pengurus Liverpool dan mesej ini khas untuk anda.

"Saya dengar anda berada dalam situasi sukar ketika ini. Saya simpati dengan takdir menimpa anda dan saya memahaminya. Tetapi kami boleh meringankan sedikit penderitaan anda dengan memulakan kembali Liga Perdana dan kami akan bermain untuk anda.

"Anda tidak bersendirian dan ia istimewa untuk anda. Kami akan memberikan apa sahaja untuk mencapai cita-cita besar kami tahun ini.

"Pada malam Ahad, kami akan menentang Everton dan bermula dari detik itu, kami akan berjuang sebaik mungkin istimewa untuk anda.

"Saya akan memberitahu pemain saya dan saya juga harap anda akan gunakan kuasa itu untuk berjuang. Saya mengharapkan yang terbaik untuk kamu dan dapat berjumpa kamu tak lama lagi, dari saya Jurgen Klopp.

"Dan jangan lupa, 'you will never walk alone'."

William turut menerima mesej sokongan daripada kapten Liverpool, Jordan Henderson dan Harvey Elliot yang turut menurunkan tandatangan di baju khusus untuknya.

Disiarkan pada: June 17, 2020 @ 9:40pm
d