arena

Stadium ragbi baharu setaraf negara maju

Oleh Syazwan Msar

PASUKAN ragbi negara bakal mempunyai stadium sendiri berharga RM17 juta yang akan dibina di Presint 13, Putrajaya sekali gus menjadi mercu tanda kebanggaan sukan berkenaan di negara ini.

Lebih menarik, stadium berkenaan yang berkapasiti 5,000 penonton itu boleh dikatakan sama taraf dengan venue di negara maju seperti New Zealand dan Australia yang diketahui sebagai kuasa besar sukan berkenaan di pentas antarabangsa.

Mengulas lanjut berkaitan stadium nasional ragbi pertama negara, Setiausaha Agung Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Amrul Hazarin Hamidon berkata, kos keseluruhan untuk membina venue berkenaan menelan belanja kira-kira RM17 juta.

Beliau berkata, stadium berkenaan akan dilengkapi pelbagai kemudahan seperti gimnasium, pusat rawatan, ruang komersial dan padang latihan yang akan dibina secara berperingkat.

"Stadium berkenaan mengambil masa 18 bulan untuk disiapkan dan projek berkenaan akan mula dibina dalam masa terdekat selepas mendapat kebenaran daripada pihak tertentu.

"Selepas ini, kita boleh berbangga dan tidak perlu malu lagi kepada pasukan luar kerana sudah memiliki fasiliti lengkap dan canggih untuk menganjurkan sebarang pertandingan di peringkat antarabangsa," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Pembinaan stadium berkenaan di tanah seluas 6.4 hektar adalah antara sebahagian daripada projek untuk merealisasikan matlamat Putrajaya sebagai 'Bandar Mesra Sukan' dilengkapi infrastruktur sukan dan rekreasi bertaraf antarabangsa.

Disiarkan pada: June 17, 2020 @ 10:32pm
d