arena

Jurulatih perlu lebih kreatif

Oleh Firdaus Hashim

KETUA jurulatih Felda United, Nidzam Jamil berpandangan semua pengendali Liga Malaysia (Liga M) perlu lebih kreatif dan terbuka menerima corak latihan yang begitu ketat sepertimana disyaratkan dalam prosedur standard operasi (SOP) oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Baginya, suka atau tidak, mereka kena bijak menggunakan ruang yang ada walaupun latihan secara kontak fizikal atau 'body-contact' tidak dibenarkan serta harus berfikir di luar kotak dalam mencipta latihan bersesuaian kepada semua pemain.

Jelas Nidzam, itu juga satu perkara baharu dan tidak pernah berlaku dalam sejarah bola sepak tetapi bukan halangan buat semua pasukan untuk cuba berlatih di tahap maksimum.

"Kebenaran awal diberikan untuk berlatih memang melegakan, satu cabaran baharu berhubung latihan yang tidak membenarkan ada sentuhan dan sememangnya itu menuntut bukan saya sahaja tetapi semua jurulatih untuk ada kreativiti mencorakkan latihan mengikut syarat sebegitu.

"Sebagai jurulatih, saya kena lihat daripada perspektif bagaimana mahu melatih pemain di samping perlu menjaga penjarakan sosial dan mungkin kena fikir dalam cara falsafah bola sepak yang berlainan.

"Kita tidak boleh jadikan itu sebagai alasan sebagai sukar untuk melatih pemain dan apa-apapun kebenaran untuk berlatih perlu disambut penuh positif oleh semua pasukan.

"Saya melihat kebenaran awal sebegini yang diberikan oleh kerajaan iaitu lapan ke sepuluh minggu sebelum sepak mula, sekurang-kurangnya memudahkan kami barisan kejurulatihan melakukan pelbagai perancangan yang lebih teliti dan tidak bersikap terburu-buru dalam mendapatkan kembali kekuatan setiap pemain, " katanya.

Khamis lepas, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan berkata, semua pasukan Liga M yang mahu memulakan latihan wajib mengikuti pematuhan SOP jika mahu turun ke padang bermula 15 Jun lalu.

Disiarkan pada: June 17, 2020 @ 11:00pm
d