arena

Sekadar panaskan bangku simpanan

Oleh Firdaus Hashim

"SEJUJURNYA memang benar saya pernah dirisik dua atau tiga kelab luar, tapi tak pergi sebab kalau setakat duduk bangku simpanan baik kekal dalam Liga Malaysia."

Demikian pengakuan seorang daripada lima tonggak skuad bawah 23 (B-23) negara, Syahmi Safari yang mengakui pernah ditawarkan kontrak oleh kelab luar terutama Eropah.

Bagaimanapun, dia terpaksa menolak selepas memikirkan soal minit permainan disebabkan tiada jaminan buat pemain tempatan untuk berada dalam skuad utama sekiranya memilih berhijrah ke luar negara.

Katanya, ia bukan semata-mata soal tawaran gaji yang lebih rendah berbanding Liga Malaysia, sebaliknya ia lebih kepada kepuasan diri untuk beraksi dalam setiap perlawanan.

"Memang ada dua tiga kelab luar sejak dua tahun lalu bertanya dan paling baharu tahun lalu di mana kelab dari Sweden ada menghubungi.

"Tapi bukan rezeki saya sebab kita tak tahu benchmark (tanda aras) pemain dari Malaysia dipandang macam mana oleh mereka. Maksud saya, kalau kita terima dan kemudian mereka juga akan bawa pemain dari Afrika atau Eropah yang lain, jadi apa kedudukan kita dalam pasukan itu.

"Sebab kita pernah ada lagi pemain dari Malaysia main di Eropah. Jadi pandangan mereka pada kita biasa-biasa saja berbanding jika ada pemain dari Eropah yang lain," katanya ketika dihubungi, semalam.

Jelasnya, isu sama juga adalah jawapan mengapa pemain lain dalam skuad B-23 seperti Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Syamer Kutty Abba dan Irfan Zakaria terpaksa melupakan tawaran berkenaan.

Namun, dia yakin sekiranya penghijrahan Luqman Hakim Shamsudin ke kelab Belgium, KV Kortrijk menjadi kenyataan dan penyerang itu menyerlah, mungkin laluan buat pemain dari Malaysia selepas ini lebih cerah untuk berada dalam skuad utama sesebuah kelab.

"Ramai orang fikir kami tak nak pergi sebab gaji kecil, tapi sebenarnya bukan. Mungkin ada beza sikit gaji yang ditawarkan, tetapi tak adalah sampai kecik sangat.

"Saya dan kawan-kawan lebih fikirkan pasal benchmark yang saya katakan tadi. Kalau Luqman dapat tunjukkan sesuatu, saya percaya lepas ini orang Eropah akan pandang kita tinggi macam pemain dari Jepun atau Korea Selatan.

"Terus terang siapa tak nak main di luar negara, saya memang nak jika ada peluang. Pengalaman dapat main di sana adalah impian saya dan juga mana-mana pemain sekalipun," kata pemain pertahanan Selangor itu.

Disiarkan pada: June 18, 2020 @ 7:00am
d