arena

Bellerin terlepas 3,000 pokok pertama

Oleh Agensi

Kekalahan Arsenal 0-3 kepada Manchester City dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi tadi menyebabkan Hector Bellerin terlepas untuk menanam 3,000 pokok pertama bagi kempen alam sekitar.

Pertahanan The Gunners itu sebelum ini berjanji untuk menanam 3,000 pokok setiap kali pasukannya mencatat kemenangan bagi baki saingan liga musim ini.

"Setiap kali kami mencatat kemenangan bagi baki saingan musim ini saya akan menanam 3,000 batang pokok bagi membantu perubahan iklim. Ini berkaitan dengan isu masalah pelepasan karbon yang kita alami sekarang," katanya dalam media sosial, Twitter.

Bellerin bekerjasama dengan pertubuhan bukan berasaskan keuntungan, One Tree Planted yang menganjurkan projek penanaman semula pokok dan meningkatkan kesedaran peranan penting yang dimainkan tumbuhan dalam mengatur iklim serta ekosistem bumi.

Pokok berkenaan akan ditanam di hutan hujan Amazon yang sentiasa diancam dengan isu pembalakan.

Data daripada penyelidikan ruang angkasa kerajaan INPE menunjukkan dari Januari hingga Mei penebangan hutan di Amazon, Brazil meningkat 34 peratus berbanding dengan tahun lalu.

"Saya sangat berminat dengan melakukan sesuatu yang positif untuk generasi akan datang. Kita memerlukan tempat yang sihat untuk melakukan aktiviti luar dan kepelbagaian biodiversiti dapat berkembang maju.

"Terima kasi sokongan dari pasukan dan peminat. Kita dapat menanam banyak pokok bersama-sama," katanya yang berkongsi laman web mengumpul dana di https://bellerintrees.raisely.com.

Disiarkan pada: June 18, 2020 @ 11:17am
d