arena

Felix kembali dengan bergaya

Oleh AFP

PEMAIN muda Portugal, Joao Felix menjaringkan dua gol untuk membantu Atetico Madrid berada dalam kelompok melayakkan diri ke Liga Juara-Juara selepas membelasah Osasuna 5-0 dalam saingan La Liga awal pagi tadi.

Felix, 20, melakukan penampilan pertama sejak liga utama Sepanyol bersambung akibat penularan Covid-19 selepas dia terlepas pertemuan dengan Athletic Bilbao sebab penggantungan dan cedera bahagian buku lali.

"Saya berasa sangat bertenaga, kembali beraksi selepas kecederaan selepas tiga bulan tidak beraksi dan menjaringkan dua gol ia adalah petanda sangat baik buat saya," kata Felix kepada Movistar.

Osasuna kekal di tangga ke-11 selepas kekalahan yang menyaksikan mereka terlepas peluang untuk layak ke Liga Europa dan sekarang ini 10 mata dari zon penyingkiran.

Felix membuka jaringan pada minit ke-27 apabila melakukan rembatan ke bucu gawang selepas Renan Lodi membuka ruang di sebelah kiri.

Selepas 10 minit perlawanan separuh masa kedua bersambung Felix menggandakan jaringan buat Atletico.

Sebaik Felix dikeluarkan pada minit ke-69, Atletico mengesahkan tiga mata dengan tiga lagi gol disumbangkan Marcos Llorente, Alvaro Morata dan Yannick Carrasco.

Disiarkan pada: June 18, 2020 @ 11:52am
d