arena

AFC iktiraf jaringan akrobatik Safee

Oleh Firdaus Hashim

KONFEDERASI Bolasepak Asia (AFC) menyenaraikan jaringan akrobatik Safee Sali antara lima gol terbaik sepanjang saingan Piala AFC dan bekas penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT) itu berpeluang untuk memenangi anugerah itu.

Gol akrobatik atau lebih dikenali dengan jaringan sepakan gunting adalah anugerah yang diperkenalkan oleh AFC di mana peminat diberikan peluang untuk memilih sendiri pemenang daripada lima calon terakhir yang disenarikan oleh badan induk itu.

Safee yang pernah beraksi dalam saingan Piala AFC berjaya meledak gol menarik itu ketika membantu JDT menewaskan kelab dari India, East Bengal di Stadium Larkin pada 12 Februari 2015.

Gol itu terhasil susulan hantaran lintang tepat Nazrin Nawi yang kemudiannya disambut baik oleh Safee yang terus melonjak tinggi dengan melakukan lipatan tepat menuju ke gawang lawan sekali gus memastikan kemenangan 4-1 berpihak skuad Harimau Selatan.

Selain gol itu, Safee bakal dicabar empat lagi gol lain iaitu oleh Omar Al Soma (Qadsia SC), Abdulatif Salkeni (Al Jaish), Nguyen Van Quyet (Hanoi FC) dan Khairul Amri (Tampines Rovers).

Undian berkenaan boleh dibuat menerusi laman sesawang AFC dan akan berakhir pada 27 Jun ini.

Sebagai rekod, seorang lagi tonggak JDT, Safawi Rasid pada 16 Mei lalu dinobatkan pemenang bagi jaringan lencong terbaik sepanjang Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Dengan pencalonan terbaharu Safee itu, ia menyaksikan penjaring terbanyak Piala AFF 2010 itu berpeluang untuk mengharumkan nama Malaysia di peringkat Asia.

Disiarkan pada: June 18, 2020 @ 5:23pm
d