arena

Raih RM10j jual Lucero

Oleh Firdaus Hashim

KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta'zim (JDT) pernah memperoleh keuntungan besar dengan muncul satu-satunya pasukan Liga Malaysia (Liga M) yang berjaya menjual pemainnya dengan harga lumayan seperti mana kelab di Eropah.

Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards berkata, skuad Harimau Selatan itu menjual penyerang importnya, Juan Martin Lucero dengan nilai AS$2.5 juta (RM10 juta) pada 2017.

Lucero yang bersama JDT selama semusim pada 2016 berpindah ke pasukan utama Mexico iaitu kelab Tijuana.

"Kami mempunyai pengalaman dalam bisnes bola sepak di mana kami adalah satu-satunya kelab dalam negara yang menjual pemain. Contohnya kami sudah menjual Juan Martin Lucero sebanyak AS$2.5 juta," katanya.

Untuk rekod, penyerang yang berasal dari Argentina itu berjaya membantu JDT menjulang tiga trofi termasuk Piala Sumbangsih, Piala FA dan Liga Super dengan merekodkan 27 gol dalam 37 penampilan di saingan Liga M.

Sementara itu, Edwards menegaskan mana-mana kelab luar negara yang berminat untuk mendapatkan pemain JDT seharusnya berhubung terus dengan kelab tanpa melalui pihak ketiga.

Beliau berkata, hingga kini pihaknya tidak dihubungi oleh mana-mana pihak dan jika ada khabar angin mengenai minat kelab luar terhadap pemain mereka, ia hanya sebuah cerita dongeng.

"Jika ada kelab luar negara yang berminat dengan mana-mana pemain JDT, orang pertama yang akan tahu mengenainya adalah saya sebagai Pengarah Teknikal atau Martin Prest selaku Pengarah Sukan. Mereka akan menghubungi JDT.

"Jika tiada sebarang komunikasi, tetapi terdapat mana-mana ejen tempatan yang mendakwa ada minat dari luar negara, ia hanya dua perkara.

"Sama ada cerita itu cerita dongeng ataupun ejen itu hendak membuat duit. Sekiranya perkara itu benar, kelab itu ataupun ejen luar negara yang dilantik oleh mereka akan menghubungi kami sendiri," katanya.

Sebelum ini, Arena Metro sekurang-kurangnya ada lima pemain daripada skuad bawah 23 (B-23) berjaya menarik minat beberapa kelab luar negara termasuk tiga pemain JDT, Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Syamer Kutty Abba selain tonggak Selangor, Syahmi Safari serta pemain Kedah, Irfan Zakaria.

Minat mendalam terhadap pemain muda itu susulan kejayaan gemilang skuad B-23 di Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pada 2018 lalu apabila menyaksikan pasukan negara berjaya mara hingga ke suku akhir sebelum tumbang 1-2 di tangan Korea Selatan.

Malah, menerusi laporan semalam Syahmi mengakui pernah didekati tiga pasukan Eropah dengan salah satunya adalah kelab dari Sweden.

Namun bek kanan Red Giant itu terpaksa melupakan tawaran berkenaan berikutan bimbang ketiadaan jaminan untuk berada dalam skuad sekali gus mengenepikan dakwaan gaji 'ciput' punca dia dan rakan-rakan lain menolak tawaran kelab luar.

Disiarkan pada: June 19, 2020 @ 6:00am
d