arena

Pelumba Siam terima anugerah

Oleh Aida Adilah Mat

PASTINYA kenangan dikurniakan Darjah Bentara Pasukan Polis (BPP) tidak akan dilupakan oleh pelumba basikal negara Lans Koperal Ju Pha Som Net.

Semalam, anak jati kelahiran Perlis itu dikurniakan darjah kepahlawanan Istiadat Pengurniaan Darjah Kepahlawanan Pasukan Polis dan Pingat Keberanian Polis bagi kurniaan tahun 2019 oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pelumba berketurunan Siam itu berkata, ia sesuatu yang tidak dijangka ketika hampir empat tahun bergelar anggota PDRM.

Dia yang pernah mendapatkan ilmu daripada ketua jurulatih kebangsaan negara, John Beasley berkata, apa yang diperolehnya hari ini semuanya bermula dengan kariernya sebagai pelumba basikal.

"Terima kasih kepada PDRM, MSN (Majlis Sukan Negara) dan keluarga yang menjadi tulang belakang kejayaan saya hari ini.

"Tanpa mereka saya tidak mungkin saya akan menerima anugerah ini. "Sesungguhnya ia akan menjadi pemangkin untuk saya terus mengorak langkah mengharumkan nama PDRM dan Malaysia," katanya.

Tahun lalu atlet berusia 27 tahun itu menyumbangkan tiga emas di Kejohanan Polis dan Bomba dunia di China.

Lebih memberi fokus kepada acara trek endurance, Ju Pha meraih pingat emas, perak, dan tiga gangsa dalam tiga edisi Kejohanan Asia dari 2014 hingga 2018.

Di peringkat Sukan SEA, Ju Pha menyumbangkan satu emas, dua perak dan dua gangsa di Palembang hingga edisi 2017 di Kuala Lumpur, manakala acara trek tidak dipertandingkan pada edisi 2019 di Manila.

Mengulas mengenai perancangannya tahun ini, Ju Pha berkata tidak banyak yang boleh dilakukan selain memberi fokus kepada latihan berikutan tiada sebarang maklumat berhubung kejohanan berikutan wabak Covid-19.

Bagaimanapun dia yang berlatih di bawah bimbingan Akmal Amrun dan Amir Mustafa berkata, latihan tetap diteruskan seperti biasa agar dia sentiasa bersedia dengan sebaran kemungkinan.

Disiarkan pada: June 19, 2020 @ 3:44pm
d