arena

Renang dapat lampu hijau

Oleh Aida Adilah Mat

ATLET sukan renang menerima khabar gembira apabila sukan itu kini dibenarkan untuk beroperasi seperti biasa bermula 25 Jun ini.

Ia pastinya khabar yang dinantikan oleh semua penggiat sukan yang selama ini terpaksa memberhentikan operasi dan latihan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan sejak Mac lalu.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam ucapannya menzahirkan rasa syukur apabila pembentangan yang dilakukan oleh KBS dalam mesyuarat menteri-menteri berkaitan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang dipengerusikan oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerima pandangan KBS.

"Bagi pihak KBS, kami mengucapkan terima kasih kepada MKN (Majlis Keselamatan Negara), KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan semua yang terbabit dalam mengusahakan agar sukan dan aktiviti kolam akhirnya akan dapat dimulakan semula.

"Ia akan memberi ruang buat atlet yang terbabit dengan sukan renang, akademi dan kelab termasuk guru renang untuk memulakan aktiviti ini dengan mengikut SOP yang digariskan bagi memastikan segala yang dilakukan mengikut langkah keselamatan.

"Kepada semua penggiat sukan renang ambillah peluang ini dan mudah-mudahan ini akan mengembalikan semula aktiviti di kolam renang," katanya.

Terdahulu ketika beberapa sektor sukan sudah dibenarkan memulakan operasi bermula 15 Jun lalu, sukan renang dan aktiviti kolam masih lagi ditutup.

Justeru perbincangan dilakukan bersama Setiausaha Kesatuan Renang Amatur Malaysia (Asum), Mae Chen untuk membentangkan SOP bersesuaian kerana negara masih lagi dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang masih lagi berkuat kuasa.

Disiarkan pada: June 19, 2020 @ 5:24pm
d