arena

Mana-mana pasukan boleh 'meletup' di Uzbekistan

Oleh Firdaus Hashim

Cuaca sejuk serendah 14-18 darjah Celsius bakal menguji kekuatan mental skuad bawah 19 (B-19) tahun negara sepanjang saingan Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di Tashkent, Uzbekistan dari 14-31 Oktober ini.

Beraksi dalam cuaca sejuk seperti itu sudah pasti menyajikan suasana yang berbeza buat anak buah Brad Maloney pada kejohanan itu kelak.

Oleh itu, Maloney mengakui perancangan untuk membawa barisan pemain berlatih di Uzbekistan adalah opsyen terbaik buat skuad kendaliannya menyesuaikan diri dengan keadaan di sana.

Katanya, latihan pusat di dalam negara akan diatur terlebih dulu sebelum membawa pasukan terbang ke luar negara selepas mendapat lampu hijau daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pihak-pihak berwajib yang lain ekoran pandemik Covid-19 ketika ini.

"Dalam situasi sekarang, semua orang terkesan dengan isu (Covid-19) ini, kita akan cuba turun latihan seberapa segera dan buat persiapan terbaik.

"Ada beberapa cadangan (latihan pusat luar negara), di mana kita juga dijemput untuk beberapa aksi persahabatan dan sertai kejohanan jemputan dan kita akan lihatnya nanti.

"Kita akan bermula di dalam negara dahulu dan sebelum kejohanan bermula, kita nak biasakan pemain dengan keadaan di Uzbekistan," kata pengendali yang berasal dari Australia itu.

Terdahulu, pada majlis undian yang berlangsung di Rumah AFC, di Bukit Jalil semalam, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan D dengan dua pasukan dari Asia Barat dan satu Asia Tengah iaitu Qatar, Yaman dan Tajikistan.

Berdasarkan format pertandingan, empat pasukan terbaik yang mara ke separuh akhir bakal meraih tiket automatik ke saingan Piala Dunia B-20 di Indonesia, tahun depan.

Mengulas mengenai sasaran pengurus pasukan B-19 negara, Datuk Kamarul Ariffin yang mahu membawa pasukan layak ke Piala Dunia, Maloney menerimanya sebagai satu cabaran dan percaya barisan pemainnya mampu melakukan sesuatu.

Begitupun, beliau tetap berwaspada dengan ancaman pasukan-pasukan lain yang boleh 'meletup' tanpa disangka-sangka biarpun pada awalnya mungkin tidak diletakkan sebagai pilihan.

"Masih terlalu awal untuk menilai, macam saya kata mereka semua layak secara merit dengan semua pasukan bagus.

"Kita pun pernah melihat mereka dalam kejohanan lain sebelum ini, kadang-kala pasukan yang anda rasa lemah tiba-tiba mereka memperagakan permainan yang baik dan berjaya meraih keputusan yang cemerlang.

"Namun macam saya kata, kita akan turun dan berikan aksi yang terbaik dalam kejohanan itu selain cuba melangkah sejauh yang mungkin," katanya.

Disiarkan pada: June 19, 2020 @ 5:51pm
d