arena

Denda 'Roda Impian' cara Arteta

Oleh Agensi

KEKALAHAN Arsenal di tangan Manchester City Khamis lalu mungkin memerlukan pengurus, Mikel Arteta untuk menggunakan hukuman 'Roda Impian' ke atas pemain yang melakukan kesilapan di atas padang.

Sebelum ini Arteta terkenal dengan hukuman seperti itu yang dijalankannya kepada pemain melakukan kesilapan kecil.

Jika pendekatan itu digunapakai untuk kesilapan besar selepas kekalahan berkenaan David Luiz salah seorang daripada pemain bakal memutar 'Roda Impian' itu, bukan hanya sekali tapi tiga kali.

Pertama, dia gagal menampan dengan kemas sehingga membolehkan Raheem Sterling menjaringkan gol pertama City, kedua dia menjatuhkan Riyad Mahrez di dalam petak penalti dan ketiga menerima kad merah.

Hukuman 'Roda Impian' diperkenalkan Arteta sejak menggantikan Unai Emery Disember 2019 dengan bertujuan untuk mendisiplinkan pemain, selain mengeratkan hubungan dan menerapkan semangat sepasukan.

'Roda Impian' adalah adaptasi daripada rancangan televisyen 'Wheel Of Fortunes' yang mula diperkenalkan di Amerika Syarikat pada pertengahan 70-an sebelum ia di bawa ke Malaysia ketika era 90-an.

Pemain yang melakukan kesilapan kecil akan didenda dengan melakukan putaran sama seperti rancangan televisyen berkenaan.

Umum mengetahui bahawa denda adalah perkara yang wajib dilakukan oleh setiap kelab profesional terutama membabitkan perkara seperti naik berat badan, lewat ke padang latihan dan bergaduh sesama rakan sepasukan.

Arteta tidak mendedahkan bentuk hukuman yang dikenakan tapi ada yang membocorkannya dengan menyatakan antara senarai denda itu termasuklah membersihkan bilik persalinan mencuci kereta mewah milik ketua pasukan, Pierre Emerick Aubameyang.

Jadi bersediakah Luiz untuk menyebut: "Saya putar Mikel" dan jika dia bernasib baik terdapat pilihan denda yang tertulis 'Lucky Escape' iaitu dia terlepas daripada dikenakan sebarang hukuman.

Disiarkan pada: June 20, 2020 @ 11:51am
d