arena

Deruman enjin F1 versi Covid-19 semakin dirasai

Oleh AFP

PERSEKUTUAN Automobil Antarabangsa (FIA) sudah memberikan kelulusan buat Formula Satu (F1) memulakan perlumbaan musim ini membabitkan lapan perlumbaan di Eropah antara Julai hingga September.

Kempen 2020, yang sepatutnya bermula pertengahan Mac lalu di Australia, akan membuka tirai pada 5 Julai di Red Bull Ring, Spielberg, Austria dengan saingan diadakan secara tertutup.

Jumlah bilangan individu di paddock juga terpaksa dikurangkan mengikutu protokol kesihatan yang ketat.

Perlumbaan kedua Grand Prix (GP) di Spielberg akan berlangsung pada 12 Julai sebelum ia bersambung di Hungary ( di Hungaroring, Budapest) pada 19 Julai.

Saingan akan diteruskan secara berturut-turut di Britain (di Silverstone) pada 2 dan 9 Ogos, diikuti di Sepanyol (Barcelona) 16 Ogos, Belgium (Spa) 30 Ogos dan Itali (Monza) 6 September.

Penyambungan perlumbaan musim ini masih belum didedahkan, walaupun berdasarkan prinsip asal pasukan dan pelumba akan terbang ke Asia, Amerika, menamatkan saingan di Timur Tengah pada pertengahan Disember.

Bagi menangani penularan wabak Covid-19 penonton tidak dibenarkan masuk menyaksikan perlumbaan dan bilangan individu di litar juga dikurangkan.

Ia termasuk staf pasukan, pegawai, pengawal keselamatan dan media.

Mereka akan dibahagikan mengikut kumpulan dan kerap kali melakukan ujian Covid-19.

Jika terdapat kes positif, invidu berkenaan akan diasingkan dan diganti dengan orang lain.

Individu yang akan berada di petak permulaan dan podium juga akan dihadkan.

Disiarkan pada: June 20, 2020 @ 12:19pm
d