arena

Pemain perlu patuhi SOP latihan

Oleh Malik Muhamad

PENGURUS Terengganu FC (TFC), Ahmad Shahrizal Yahya mengingatkan pemain skuad Penyu supaya dapat patuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan bagi memastikan latihan dapat berjalan tanpa sebarang gangguan.

Beliau turut mengingatkan pemain supaya terus kekal disiplin dan cepat menguasai corak latihan yang bakal diterapkan barisan jurulatih dalam situasi normal baharu ketika negara masih lagi berdepan dengan krisis wabak pandemik Covid-19.

"Selepas tiga bulan pemain tidak dapat menjalani latihan di padang berikutan wabak pandemik itu, Isnin ini adalah hari pertama pemain akan turun menjalani latihan di Padang C, Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong di (KSNT) sesudah mendapat 'lampu hijau' daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

"Memandangkan tempoh latihan dibenarkan selama 45 minit bagi setiap sesi dengan bilangan pemain terhad kepada sepuluh orang dan empat terdiri daripada bahagian pengurusan termasuk jurulatih, TFC akan melakukan latihan secara dua sesi iaitu pada sebelah pagi dan petang di padang.

"Kami percaya pemain tidak berdepan masalah untuk mematuhi SOP yang ditetapkan itu walaupun dalam suasana normal baharu, lagipun kita sudah maklum perkara ini kepada semua pemain lebih awal," ujar Shahrizal.

Sementara itu, ketua jurulatih Terengganu FC II (TFC II), Roshadi Wahab turut mengharapkan pemainnya dapat mematuhi SOP yang ditetapkan selain dapat menepati masa latihan.

Katanya, latihan pertama pasukannya akan berlangsung hanya sebelah pagi esok bagi proses penyesuaian selepas tiga bulan pemainnya tidak turun ke padang.

Disiarkan pada: June 20, 2020 @ 8:57pm
d