arena

Pemaju harus bayar KLBA

Oleh BERNAMA

PERSATUAN Badminton Kuala Lumpur (KLBA) menggesa pemaju yang mengambil alih tapak Stadium Badminton Kuala Lumpur di Cheras untuk memenuhi janji mereka meneruskan bayaran kepada KLBA sehingga akademi baharu siap dibina.

Presiden KLBA, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos berkata, bayaran itu sangat penting untuk memudahkan KLBA menampung pelbagai perbelanjaan seperti sewa gelanggang, bulu tangkis dan sebagainya.

Beliau mendakwa KLBA menerima hampir RM40,000 sebulan daripada pemaju sejak 2018 untuk membolehkan 75 hingga 80 pemain di bawah pengurusannya meneruskan latihan di gelanggang swasta sekitar Lembah Klang.

"Masalah menghentikan bayaran (sejak April tahun ini) sepatutnya tidak berlaku kerana pemaju telah berjanji sejak tahun 2017 yang mereka akan meneruskan bayaran kepada KLBA sehingga Akademi Badminton KLBA siap dan boleh digunakan.

Sekarang mereka cuba memungkiri janji dengan menyalahkan DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) selepas DBKL menafikan memaklumkan kepada mereka untuk menghentikan bayaran," katanya.

Jahaberdeen juga mendedahkan pihak pemaju bersetuju untuk menyiapkan pembinaan akademi badminton baharu selepas mengadakan pertemuan dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan di tapak cadangan, minggu lalu.

"Akademi baharu ini akan dibina berhampiran stadium lama yang sebelum ini dijadikan tempat parkir," kata Jahaberdeen.

Stadium Badminton Kuala Lumpur yang berjaya melahirkan jaguh negara seperti Ong Ewe Hock dan Liew Daren dirobohkan pada 2017 untuk memberi laluan pembinaan projek kondominium mewah.

Stadium yang terletak di Cheras itu siap dibina pada 1990 dan pernah menjadi ibu pejabat Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selain menjadi venue utama penganjuran acara badminton Sukan Komanwel 1998.

Sementara itu, jurucakap pemaju ketika dihubungi mengesahkan mereka sudah menulis surat kepada DBKL untuk mendapatkan penjelasan dan pengesahan berhubung perkara itu.

"Kami juga menghubungi KLBA untuk mengadakan pertemuan minggu depan kerana kami berharap dapat menyelesaikan masalah ini secepat mungkin," katanya.

Disiarkan pada: June 21, 2020 @ 6:18pm
d