arena

Gembira boh

Oleh Malik Muhamad

PEMAIN Terengganu FC II (TFC II), Dhiyaulrahman Mohd Hasry akui teruja dan gembira dapat menjalani latihan buat kali pertama selepas tiga bulan 'berkurung' di rumah bagi mematuhi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu.

Pemain berdarah kacukan Malaysia-Indonesia itu bersama rakan sepasukannya menjalani latihan di Kompleks Sukan Negeri Terengganu (KSNT) di Gong Badak pagi ini bawah kendalian jurulatih, Roshadi Wahab dan penolongnya, Sapian Wahid.

Pemain berusia 24 tahun itu berkata, walaupun berlatih dalam suasana normal baharu dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan, dia tetap positif dan membayangkan sebagai permulaan yang baik sebelum liga kembali bersambung.

"Sebelum melangkah ke padang pada jam 8 pagi, kami wajib melakukan pemeriksaan suhu badan. Kemudian kami diagihkan kepada tiga kumpulan yang terdiri daripada 10 pemain dengan sesi latihan bagi setiap kumpulan diadakan selama 45 minit.

"Latihan pula diadakan kira-kira dua meter bagi setiap pemain tanpa ada sebarang sentuhan dan sebaik selesai latihan, kami tidak dibenarkan memasuki bilik persalinan sebaliknya perlu pulang segera ke kediaman masing-masing.

"Walaupun kali pertama berlatih dengan SOP yang sudah tentu berbeza berbanding sebelum penularan wabak pandemik Covid-19, kami tetap mampu mengikuti SOP berkenaan, malah saya begitu gembira dan teruja bukan hanya dapat berlatih bersama rakan sepasukan tapi sudah tiga bulan tidak menyepak bola," katanya.

Sementara itu, Roshadi mengakui proses latihan berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini walaupun pemain sudah lama tidak berlatih bersama rakan sepasukannya.

Disiarkan pada: June 21, 2020 @ 6:47pm
d