arena

Liverpool tagih simpati untuk juara

Oleh AFP

LIVERPOOL memerlukan bantuan dari Manchester City minggu ini untuk meraih gelaran juara Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas 30 tahun apabila hanya mencatat keputusan seri tanpa jaringan ketika berdepan Everton awal pagi tadi.

Everton hampir dapat memecahkan kebuntuan selepas sepakan Tom Davies terkena tiang dan Alisson Becker berjaya menyelamatkan percubaan Dominic Calvert-Lewin untuk menafikan kemenangan pertama Toffees dalam pertemuan tetangga Merseyside dalam tempoh 10 tahun.

Liverpool kekal dalam landasan terbaik untuk muncul juara liga selepas memiliki kelebihan 23 mata ke atas City.

The Reds mampu ditabalkan juara di tempat sendiri menentang Crystal Palace Rabu ini jika pasukan bimbingan Pep Guardiola kehilangan mata ketika berdepan Burnley awal pagi esok.

Bagaimanapun, jika City berjaya mengalahkan Clarets dan Chelsea (awal pagi Jumaat), peluang seterusnya untuk Liverpool akan hadir pada 2 Julai di mana kedua-dua kelab akan bertemu sesama sendiri.

"Kedua-dua pasukan menunjukkan bahawa mereka faham ini adalah perlawanan sejiran walaupun tanpa kehadiran penonton. Ketegangan, pertarungan fizikal semuanya ada di dalam diri pemain," kata pengurus Liverpool, Jurgen Klopp.

"Semua orang tidak tahu apa yang akan dijangkakan. Ia sangat baik dapat kembali beraksi semula," kata pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk.

"Ia sangat pelik. Bermain tanpa penonton sedikit luar biasa terutama dengan perlawanan tegang seperti ini" kata Calvert-Lewin.

Klopp tidak menurunkan Mohamed Salah yang berada di bangku simpanan kerana mengalami kecederaan.

Disiarkan pada: June 22, 2020 @ 10:05am
d