arena

Sarri yakin Ronaldo kembali hebat

Oleh AFP

JURULATIH Juventus, Maurizio Sarri memberitahu Cristiano Ronaldo agar jangan terlalu memikirkan mengenai prestasinya yang sedikit merosot selepas saingan bola sepak di Itali kembali bersambung dan mengakui bahawa bintang kelahiran Portugal itu akan berada pada tahap terbaik dalam tempoh terdekat.

Mereka akan beraksi dalam perlawanan pertama Serie A awal pagi esok menentang Bologna, empat hari selepas tumpas perlawanan akhir Piala Itali kepada Napoli.

Pendahulu Serie A itu gagal menjaringkan gol dalam dua perlawanan Piala Itali sejak negara berkenaan menyambung semula saingan akibat Covid-19.

Selepas seri tanpa jaringan menentang AC Milan di separuh akhir, di mana ketika itu Ronaldo gagal menyempurnakan sepakan penalti, mereka kalah kepada Napoli 2-4 menerusi penentuan penalti di pentas final.

"Saya berbincang sekali lagi dengan Cristiano semalam. Dia tidak perlu bimbang dengan kepercayaan yang diletakkan kepadanya.

"Dia tidak boleh hilang keyakinan, selepas dia kembali menemui sentuhan dia akan menjadi pemain paling hebat sepanjang zaman.

"Buat masa sekarang, secara fizikal dia tidak boleh memberi kekuatan fizikal maksimum," kata Sarri.

Ronaldo, 35, sudah menjaringkan 25 gol buat Juventus dalam semua kejohanan musim ini.

Dia menjalani perintah berkurung Covid-19 di negara kelahirannya di Portugal.

"Kita tidak boleh lupa bahawa kita baru saja kembali selepas berehat selama 60 hari dan kekuatan fizikal tidak mampu lagi sampai ke tahap paling tinggi," katanya.

Ronaldo juga gagal menjaringkan gol pada dua aksi terakhir Juventus sebelum perintah berkurung, selepas dia meledak jaringan sembilan perlawanan berturut-turut.

Juventus hanya berkelebihan satu mata ke atas Lazio dalam carta Serie A, tatkala mereka meletakkan sasaran meraih kejuaraan Scudetto buat kali kesembilan berturut-turut.

Jurulatih berusia 61 tahun itu menyeru agar pemain cepat melupakan dua kekalahan perlawanan akhir musim ini, apabila kali pertama ketika mereka tumpas kepada Lazio dalam Piala Super Itali Disember lalu.

Disiarkan pada: June 22, 2020 @ 2:34pm
d