arena

Hadi Fayyadh 'bom' Hiroshima

Oleh Firdaus Hashim

Ketika 'ubi muda' negara semakin laris di pasaran antarabangsa, penyerang kebangsaan yang beraksi di Liga Jepun, Hadi Fayyadh Abdul Razak menghadirkan berita gembira apabila sentuhannya semakin tajam.

Hadi, 20, yang beraksi untuk kelab Fagiano Okayama dalam divisyen dua Jepun (J2) itu berjaya meledak satu gol pada aksi pemanas badan menentang kelab divisyen satu, Sanfrecce Hiroshima.

Meskipun pasukannya tewas 4-2 dalam aksi itu, kemampuan Hadi mencetak namanya selaku penjaring amat mengejutkan terutama dalam aksi itu memandangkan Sanfrecce Hiroshima bukanlah calang-calang pasukan di saingan Liga Jepun.

Pencapaian cemerlang Sanfrecce Hiroshima sudah tentunya kejayaan menjuarai kempen J1 pada musim 2018 lalu.

Jelas Hadi, dia mengakui gembira dengan prestasi dirinya ketika ini dan berazam untuk membantu Fagiano Okayama mengharungi J2 yang akan bersambung semula selepas ditangguhkan ekoran pandemik Covid-19.

"Saya gembira dapat menjaringkan gol dalam aksi terakhir perlawanan persahabatan sebelum liga kembali bersambung.

"Sekarang masa untuk fokus dalam liga dan cuba raih kejayaan untuk pasukan," katanya dilaman Instagram miliknya sekali gus menjadi titik permulaan yang baik bagi mendapatkan kepercayaan jurulatih, Kenji Arima bagi mengisi kesebelasan utama.

Sebelum saingan Liga Jepun dihentikan, Fagiano menduduki tangga ketujuh di mana mereka memulakan saingan J2 dengan kemenangan.

Untuk rekod, musim ini adalah tahun kedua Hadi di Jepun selepas kelab itu melanjutkan kontraknya hujung tahun lalu. Bekas pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu mula menyertai Fagiano Okayama pada musim 2018.

Disiarkan pada: June 22, 2020 @ 2:55pm
d