arena

PSG mahu tamat badi Liga Juara-Juara

Oleh AFP

PARIS Saint-Germain (PSG) masih lagi optimis mereka mampu muncul juara Liga Juara-Juara buat kali pertama apabila kejohanan berkenaan akan diadakan di Lisbon Ogos depan.

Walaupun pelbagai krisis melanda kelab yang dimiliki Qatar itu baik di dalam dan luar padang namun cita-cita mereka masih lagi menyala.

Keputusan menamatkan saingan Liga Perancis lebih awal pada April lalu, dengan lebih suku perlawanan tidak dilangsungkan, ia tidak menghalang PSG daripada dinobat selaku juara Ligue 1 buat kali ketiga berturut-turut namun mereka tidak mahu ia berakhir dengan cara berkenaan.

Tanpa mempunyai peluang untuk meraikan kejayaan, kelab berpangkalan di Paris itu kembali berlatih Isnin lalu, selepas lebih tiga bulan berehat dengan perlawanan terakhir ketika mengalahkan Borussia Dortmund 2-0 di perlawanan kedua pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara.

Pemain mereka menghabiskan masa sebulan berkurung di rumah sebelum mempunyai masa untuk bercuti.

Walaupun tanpa ketiadan Edinson Cavani, PSG bakal bergantung harap kepada gandingan Kylian Mbappe dan Neymar dalam saingan Liga Juara-Juara nanti.

"Mereka berdua adalah harapan PSG. Semua orang mahukan mereka. Bagaimanapun, kami akan menyambung kontrak mereka," kata Pengarah Sukan PSG, Leonardo.

Apa yang Mbappe, PSG mahukan sekarang ialah Liga Juara-Juara dan selepas prestasi kurang memuaskan di peringkat Eropah, mereka sekarang meletakkan sasaran gemilang di kejohanan itu yang menggunakan format kalah mati satu perlawanan pada peringkat suku akhir.

Bagaimanapun, buat masa sekarang sehingga saingan suku akhir berakhir pada 15 Ogos, pasukan bimbingan Thomas Tuchel hanya mempunyai dua perlawanan kompetitif iaitu perlawanan akhir Piala Perancis dan akhir Piala Liga.

Disiarkan pada: June 22, 2020 @ 3:23pm
d