arena

Perak berlatih semula selepas hampir tiga bulan

Oleh Firdaus Hashim

KETUA jurulatih Perak, Mehmet Durakovic menganggap tempoh selama dua bulan setengah bagi pasukan menjalani latihan adalah mencukupi sebagai persiapan sebelum Liga Malaysia (Liga M) yang dijangka kembali bersambung pada September.

Jelasnya, meskipun cara latihan berbeza perlu diterapkan apabila tidak dibenarkan berlatih secara "body contact", tetapi beliau positif barisan pemain mampu menyesuaikan diri dengan situasi ketika ini untuk mereka mendapatkan kembali tahap kecergasan selepas lebih tiga bulan tidak beraksi.

Apa yang pasti, tempoh yang ada ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin mengikut segala Prosedur Operasi Standard (SOP) kerana latihan Fasa 1 ini cukup penting agar pasukan dapat melangkah ke latihan Fasa 2 pula di mana pemain boleh berlatih secara "body contact".

"Saya rasa ia mencukupi untuk saya melatih barisan pemain dalam tempoh dua bulan setengah ini apatah lagi untuk menghadapi jadual liga yang dijangka ketat selepas ini jika saingan liga betul-betul bermula pada September.

"Dan bagi saya, tempoh yang diberikan ini hampir sama seperti persiapan pasukan pra musim sebelum ini, jadi ia tidak menjadi masalah untuk kami gunakan sebaiknya tempoh masa yang ada ini.

"Saya sememangnya percaya pemain-pemain ini boleh mendapat kecergasan sepenuhnya tanpa sebarang masalah walaupun bukan mudah kerana terpaksa mematuhi peraturan SOP yang ditetapkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

"Corak latihan yang saya terapkan juga tidaklah terlalu mendesak kerana saya masih ada masa yang banyak untuk memikirkan bagaimana untuk melatih setiap daripada mereka secara berperingkat," katanya.

Pasukan Perak mengadakan latihan pertama mereka pada hari ini yang dibahagikan kepada tiga kumpulan dengan terdapat sembilan pemain di dalam setiap kumpulan.

Latihan yang dijalankan di Stadium Perak itu turut dibahagikan kepada dua sesi iaitu pagi di gimnasium, manakala di padang pula pada sebelah petang.

Tambah Durakovic, tugasnya bukan sekadar untuk melatih malah turut memastikan agar pasukan sentiasa mematuhi SOP kerana itulah yang menjadi keutamaan ketika ini dalam masa yang sama memudahkan lagi perancangan MFL untuk meneruskan latihan Fasa 2 dengan lebih cepat selepas ini.

Disiarkan pada: June 22, 2020 @ 6:57pm
d