arena

Da Sylva tak kejar Kasut Emas

Oleh Malik Muhamad

PENYERANG Import Terengganu FC (TFC) kelahiran Mauritania, Dominique Da Sylva, yang memulakan latihan pertama petang ini enggan meletak sasaran peribadi untuk mengekalkan status sebagai penjaring terbanyak Liga Super.

Sebaliknya bekas pemain kelab Sai Gon FC dalam Liga Vietnam kini fokus kepada usaha untuk mengembalikan prestasi terbaiknya sebagaimana permulaan liga bagi memastikan dia mampu memberi sumbangan bermakna buat pasukan.

Pemain berusia 31 tahun yang mengikat kontrak setahun bersama skuad Penyu itu juga sudah bersedia sekiranya Liga Super bersambung lebih awal kerana dia sudah tidak sabar untuk meledak gol.

"Selepas tiga bulan tidak turun ke padang berikutan penundaan Liga Malaysia (Liga M) sejak 16 Mac lalu kerana pandemik Covid-19, ianya sedikit sebanyak memberi kesan terhadap keyakinan serta momentum pemain dan pasukan.

"Malah kami perlu bermula dengan sifar semula, namun sebagai pemain profesional yang sudah 'masak' dengan sukan ini, saya tiada masalah untuk menyesuaikan diri dan bersedia untuk meneruskan saingan liga yang saya difahamkan akan bermula awal September ini.

"Tapi saya juga tidak kisah jika liga kembali bersambung Ogos ini kerana percaya rakan sepasukan sudah bersedia begitu juga dengan barisan jurulatih.

"Jika tanya saya adakah saya mahu buru Kasut Emas dengan baki lapan perlawanan lagi, saya tidak meletak sasaran itu sebaliknya fokus utama saya adalah tiga mata dalam setiap perlawanan untuk mengintai peluang dalam kelompok teratas liga.

"Saya yakin program latihan Pasca Covid-19 dan strategi yang dikendalikan jurulatih Nafuzi Zain dan Subri Sulong akan membuahkan hasil bagi memacu kejayaan buat skuad kami," ujarnya ketika ditemui selepas tamat sesi latihan petang tadi.

Da Sylva yang kini mendahului senarai penjaring terbanyak Liga Super dengan empat gol menjalani latihan bersama rakan sepasukannya di Padang C, Kompleks Sukan Negeri Terengganu (KSNT) di Gong Badak petang ini dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Disiarkan pada: June 22, 2020 @ 10:53pm
d