arena

Man City tambah aib Burnley di Etihad

Oleh AFP

MANCHESTER City membelasah Burnley 5-0 di Stadium Etihad yang kosong awal pagi tadi sekali gus menggagalkan hasrat Liverpool untuk mengesahkan gelaran Liga Perdana apabila berdepan Crystal Palace, Khamis ini.

Bagaimanapun, perlawanan dicemari sepanduk tertera 'White lives matter Burnley' yang diterbangkan sebuah pesawat ringan melintasi stadium sebelum sepak mula.

'Black Lives Matter' (BLM) pula dicetak di atas semua jersi membabitkan 12 perlawanan permulaan Liga Perdana.

Pemain, jurulatih dan pengadil turut melutut sebelum perlawanan sebagai tanda sokongan terhadap perjuangan menentang ketidakadilan dalam perkauman.

"Penyokong seperti itu tidak sepatutnya menyertai bola sepak," kata kapten Clarets, Ben Mee. "Kami malu, ia tindakan segelintir penyokong kami. Saya tahu, saya bercakap kepada penyokong supaya menjauhkan diri daripada tindakan buruk seperti itu.

"Sudah tentu ia memberi kesan besar ke atas kami apabila melihat sesuatu seperti itu di langit.

"Kami malu apabila nama kami ada di atasnya, mereka cuba mengaitkannya dengan kelab tetapi ia sebenarnya tiada kaitan langsung."

Dalam satu lagi kenyataan , Burnley berjanji mahu bertindak tegas dengan mengharamkan seumur hidup ke atas penyokong yang terbabit.

"Mereka tidak akan dibenarkan datang ke Turf Moor," kata kelab. "Kami juga meminta maaf kepada Liga Perdana, Manchester City dan semua yang mempromosikan Black Lives Matter."

Bagaimanapun, kontroversi yang tercetus tidak menghalang City mempamerkan ketajaman apabila Phil Foden membuka tirai jaringan menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti.

Riyad Mahrez kemudiannya 'membunuh' perlawanan dengan dua jaringan pantas sebelum tamat babak pertama.

Bintang Algeria itu mudah memperdayakan Charlie Taylor sebelum meledak rembatan ke penjuru kanan gol Burnley.

Mahrez melebarkan jurang menerusi penalti apabila VAR mengesahkan Mee mengasari Sergio Aguero.

Mengekalkan gelaran Liga Perdana mungkin mustahil buat City apabila ketinggalan 20 mata di belakang Liverpool tetapi anak buah Pep Guardiola masih berpeluang menambah trofi Piala FA dan Liga Juara-Juara selepas menjuarai Piala Liga pada Mac lalu.

Jaringan keempat City hasil tolakan jarak dekat David Silva selepas mendapat hantaran cantik Bernardo Silva pada babak kedua.

Foden melengkapkan kemenangan besar tuan rumah dengan jaringan kelima menerusi Foden yang menyambar hantaran jauh David Silva.

"Ini aksi terbaik saya sejak menyarung jersi City," kata Foden.

"Saya gembira dengan cara permainan kami sekarang. Kami semakin garang."

Disiarkan pada: June 23, 2020 @ 7:43am
d