arena

Sevilla bangkit ikat Villarreal

Oleh AFP

SEVILLA merampas kembali tangga ketiga La Liga selepas seri 2-2 di Villarreal ketika Bruno Soriano beraksi kali pertama dalam tempoh tiga tahun akibat kecederaan.

Paco Alcacer meletakkan Villarreal di hadapan pada minit ke-18 tetapi disamakan kapten Sevilla, Sergio Escudero pada minit ke-36 sebelum Pau Torres kembali meletakkan tuan rumah di depan seminit sebelum rehat.

Munir El Haddadi memastikan Sevilla pulang satu mata menerusi gol penyamaan pada minit ke-63 yang membolehkan mereka memintas Atletico Madrid yang akan berdepan Levante awal pagi esok.

Keputusan seri itu membolehkan Villarreal mengukuhkan slot Liga Europa musim depan manakala kemasukan Bruno pada lewat permainan mengakhiri penantiannya yang berehat panjang akibat kecederaan lutut yang hampir meragut kariernya pada Mei 2017.

"Saya tak tahu apa nak diperkatakan lagi," kata Bruno penuh emosi kepada Movistar. "Ia sudah terlalu lama sejak kali terakhir saya bermain sehingga saya hampir tak tahu apa yang mahu diperkatakan.

"Ini detik sangat penting buat saya. Sebelum ini saya cuba kembali banyak kali. Saya tak bohong sehingga ada kalanya saya hampir putus asa."

Barcelona pula mampu merampas kedudukan pendahulu apabila menerima kunjungan Athletic Bilbao awal pagi esok manakala Real Madrid melayan Mallorca, Khamis ini.

Disiarkan pada: June 23, 2020 @ 8:54am
d