arena

Wan Kuzri bakal perkuat skuad Maloney

Oleh Firdaus Hashim

TARING skuad bawah 19 (B-19) tahun negara dijangka bertambah tajam menjelang Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-19 di Uzbekistan, Oktober ini apabila pemain muda yang beraksi di Amerika Syarikat, Wan Kuzri Wan Kamal dijangka menyertai pasukan itu.

Perkara berkenaan dinyatakan oleh pengurus pasukan, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar dan Kuzri tidak berdepan masalah dalam melengkapkan proses dokumentasi kerana ibu bapanya adalah rakyat Malaysia.

"Saya diberi taklimat bahawa selain daripada pemain sedia ada, kami sedang memantau secara dekat satu atau dua lagi pemain yang akan diserap dalam skuad. Wan Kuzri iaitu adik kepada Wan Kuzain yang beraksi di Amerika Syarikat adalah dalam perancangan utama kami.

"Kami jangkakan tiada masalah kerana kedua orang tuanya warga Malaysia dan dia masih di bawah 21 tahun. Kami sedang berhubung rapat dengannya untuk langkah seterusnya jika kami boleh memulakan sesi latihan," katanya.

Kuzri adalah adik kepada bintang muda Wan Kuzain yang beraksi bersama kelab Liga Bolasepak Utama (Major League Soccer) di Amerika Syarikat, Sporting Kansas City.

Jelas Kamarul lagi, ini adalah usaha kedua pihaknya untuk membawa pulang Kuzri selepas hasrat untuk menguji pemain tengah itu pada awal tahun ini terbantut susulan pandemik Covid-19.

"Dia amat berminat untuk menyertai kami. Mengikut perancangan asal dia akan diterbangkan dari Amerika Syarikat ke Jepun bagi menyertai sesi latihan (sesi pemantapan skuad B-19) di sana, namun perancangan itu terbatal kerana pandemik Covid-19," katanya.

Terdahulu, anak didik Brad Maloney diundi sekumpulan dengan dua pasukan 'pak arab' dalam Kumpulan D Kejuaraan AFC di Uzbekistan, dari 14-31 Oktober ini.

Pasukan berkenaan adalah bekas juara pada 2014 iaitu Qatar serta Yaman, manakala Tajisktan turut mengintai peluang untuk melepasi kumpulan itu.

Saingan AFC itu turut menjadi medan kelayakan ke Piala Dunia B-20 di Indonesia tahun depan dan Malaysia menyasarkan untuk secara merit beraksi di pentas Piala Dunia dengan syarat wajib mara hingga ke separuh akhir di Uzbekistan.

Disiarkan pada: June 23, 2020 @ 9:00pm
d