arena

Milik, Lozano lonjak Napoli

Oleh AFP

ARKADIUSZ Milik dan Hirving Lozano menjaringkan gol menerusi tandukan ketika Napoli menang 2-0 di Hellas Verona dalam aksi Serie A, awal pagi tadi.

Napoli yang masih segar dengan kejayaan menjuarai Piala Itali selepas mengejutkan Juventus minggu lalu menentang Verona dalam aksi liga pertama mereka sejak menewaskan Torino pada 29 Februari sebelum perintah berkurung dilaksanakan.

Hampir empat bulan kemudian, mereka meneruskan rentak kemenangan kepada empat perlawanan berturut-turut apabila menewaskan salah satu pesaing slot Eropah selain menghidupkan peluang tipis ke kelayakan Liga Juara-Juara dengan sembilan mata di belakang pasukan di tangga keempat, Atalanta.

Skuad Gennaro Gattuso kekal di tangga keenam, tiga mata di belakang Roma di tangga kelima yang menentang Sampdoria awal pagi esok dan empat mata di hadapan pasukan di tangga kesembilan, Verona.

"Kami tidak akan relaks, kami perlu mencipta identiti dan berjuang ke Liga Juara-Juara," kata Gattuso yang skuadnya akan menentang kelab bergelut, SPAL Ahad ini.

"Saya tak tahu jika baki 11 perlawanan cukup untuk kami layak ke Liga Juara-Juara tetapi kami perlu terlebih dahulu fokus cabaran SPAL."

Di Genoa, Andreas Cornelius meledak hatrik kedua musim ini bagi membantu Parma melonjak ke tangga ketujuh dengan menewaskan tuan rumah 4-1.

Disiarkan pada: June 24, 2020 @ 9:18am
d