arena

Chelsea lanjut kontrak Willian, Pedro

Oleh AFP

SAYAP Chelsea, Willian dan Pedro melanjutkan kontrak mereka sehingga penghujung musim ini, menurut pengumuman kelab Liga Perdana terbabit semalam.

Bintang Brazil dan pemain Sepanyol itu boleh meninggalkan Chelsea pada 30 Jun apabila kontrak mereka tamat.

Dengan musim Liga Perdana dijangka tamat penghujung Julai, ketiadaan mereka mungkin menjejaskan harapan Chelsea layak ke Liga Juara-Juara tetapi kedua-duanya kini bakal tampil dalam skuad Frank Lampard sehingga tamat musim.

"Kesan pandemik global yang menjejaskan aktiviti bola sepak, kelab Liga Perdana bersetuju membenarkan lanjutan kontrak jangka pendek kepada pemain yang tamat perjanjian penghujung bulan ini," kata kenyataan Chelsea.

"Willian dan Pedro antara yang terbabit. Mereka dan kelab mencapai persetujuan melanjutkan kontrak sehingga penghujung musim ini. Ini bermakna mereka boleh beraksi baki saingan Liga Perdana 2019/20 dan Piala FA serta Liga Juara-Juara."

Willian menjadi nadi utama Chelsea musim ini dan Pedro pula banyak masuk sebagai pemain gantian.

Chelsea kini menduduki tangga keempat Liga Perdana dan akan menentang Manchester City awal pagi Jumaat.

Mereka juga berdepan Leicester pada suku akhir Piala FA Ahad ini selain masih lagi beraksi pada saingan Liga Juara-Juara namun tewas 0-3 kepada Bayern Munich pada peringkat pertama 16 terakhir.

Disiarkan pada: June 24, 2020 @ 10:26am
d